<$BlogRSDURL$>

Thursday, February 15, 2007

Kesihatan Optimum Penghidap Asma 

Oleh: DR. RAJBANS SINGH

ASMA merupakan penyakit kronik atau gangguan respiratori yang menjejaskan saluran pernafasan anda, iaitu tiub yang membawa udara keluar dan masuk ke paru-paru anda. Sesetengah daripada perkara-perkara paling biasa yang mendatangkan simptom-simptom asma termasuk senaman, alergen, pencemaran udara, perengsa dan jangkitan virus. Penghidap asma mengalami batuk yang berterusan, berdehit, sesak dada dan kesukaran bernafas.

Walaupun asma menjejaskan kehidupan pada semua peringkat umur, ia paling sering berlaku pada peringkat zaman kanak-kanak.

Lebih ramai budak lelaki menghidap asma berbanding budak perempuan, tetapi pada peringkat dewasa, ia menjadi terbalik di mana lebih ramai wanita yang menghidap asma berbanding lelaki.

Ketika zaman kanak-kanak, Sarah (bukan nama sebenar) menghidap asma. Ibu bapanya sering mengejarkannya ke wad kecemasan apabila mereka mendapati beliau tidak bernafas atau bergelut untuk bernafas.

Batuk, berdehit dan sesak dada menjadi sebahagian daripada gaya hidupnya. Kemudian anak yang sakit itu mula melakukan senaman ringan dan pada usia 13 tahun, simptom-simptom tersebut lenyap.

Tetapi, pada usia 42, sebagaimana pantas simptom-simptom itu lenyap sewaktu usia remaja, ia tiba-tiba muncul semula dan Sarah tidak tahu di mana silapnya. Beliau kembali bergantung pada alat sedutnya. Beliau berasa ini disebabkan oleh gaya hidup yang sibuk, diet yang teruk, ketegangan kerja dan kurang bersenam.

Bertekad untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti, beliau mendapatkan seorang jurulatih peribadi yang mengembalikan beliau kepada kehidupan yang sejahtera.

Dalam masa setahun, semua simptom itu lenyap dan kini pada usia 61, penyakit asma Sarah dapat dikawal dan beliau benar-benar sihat.

Asma tidak boleh dicegah atau disembuhkan, tetapi kebanyakan orang dengan asma boleh mengawalnya sehingga mereka mempunyai simptom yang sedikit dan jarang-jarang serta boleh menjalani hidup yang normal dan aktif.

Senaman adalah penting untuk penghidap asma tetapi mulakannya dengan berjalan atau berenang yang boleh membantu mengembangkan paru-paru.

Diet adalah komponen penting untuk penghidap asma, terutama jika mereka mengambil steroid.

Diet yang sihat termasuk makanan dari setiap kumpulan (karbohidrat, protein dan lemak) boleh memperbaiki sesetengah kesan pemakanan akibat terapi steroid.

Jika diambil untuk tempoh yang lama, steroid boleh meningkatkan risiko osteoporosis. Oleh itu adalah penting untuk mengambil suplemen kalsium.

Untuk mencegah kesan sampingan yang lain, hadkan penggunaan garam dan makanan yang tinggi kandungan natrium serta mengurangkan jumlah kolesterol dan lemak dalam diet anda.

Penghidap asma masih boleh menjalani hidup normal tetapi anda perlu tahu apa yang mencetuskannya.

Kemudian lakukan apa yang anda boleh untuk mengelak atau mengehadkan pengambilan benda-benda itu.

Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat memberikan petua-petua berikut:

* Jika bulu haiwan adalah satu masalah, pastikan haiwan kesayangan anda berada di luar rumah atau sekurang-kurangnya di luar bilik tidur anda

* Jangan merokok atau membenarkan perbuatan merokok dalam rumah anda

* Jika debunga memberi kesan kepada anda, duduk dalam rumah dengan penyaman udara terpasang, jika boleh, apabila jumlah debunga adalah tinggi

* Untuk mengawal hama habuk, cuci cadar, selimut, sarung bantal, dan barang mainan lembut seminggu sekali dalam air panas. Anda boleh mendapatkan sarung kalis habuk yang khas untuk tilam dan bantal anda

* Jika anda mempunyai simptom-simptomnya ketika bersenam atau melakukan rutin aktiviti fizikal seperti menaiki tangga, bincang dengan doktor anda untuk mencari cara-cara menjadi aktif tanpa mendapat simptom-simptom asma. Aktiviti fizikal adalah penting

* Jika anda alah terhadap bahan sulfat, elakkan makanan seperti buah-buahan kering atau minuman (seperti wain) yang mengandunginya.

Dr. Rajbans Singh merupakan seorang pakar perunding perubatan.


Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?