Wednesday, February 07, 2007
Ilusi Ekonomi Ciptaan Kalimullah dan Khairy Jamaluddin
Oleh: KuntaKinte Malaysia
Selama seminggu kumpulan akhbar yang "dikuasai" oleh Datuk Kalimullah Hassan (yang dikaitkan dengan skandal penggabungan ECM LIbra - Avenue Capital Resources Berhad), The New Strait Times Press (NSTP) mengembar-gemburkan beberapa penyata ekonomi yang cukup memberangsangkan.
Selain mendakwa nilai dagangan Malaysia mencatat RM 1 trillion, peningkatan di Bursa Saham Kuala Lumpur yang begitu besar, pelaburan asing dan domsetik berjumlah RM 40 billion, kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang tertinggi sejak 1998 diuar-uarkan sebagai satu kejayaan besar ekonomi negara.
Malangnya, dengan tiba-tiba segala cubaan untuk mewujudkan feel good factor (meminjam frasa NTV7 dan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin) terhadap suasana ekonomi hari ini menjadi kelam kabut.
Bukan sahaja pembangkang, malah ramai rakyat dan usahawan tidak mempercayai fakta ini. Adalah mustahil untuk kerajaan sanggup menipu fakta-fakta yang ada kerana ia akan menjejaskan kredebiliti kerajaan kemudian hari. Itu pun jika kerajaan hari ini amsih dipercayai umum setelah pelbagai keputusan tunggang-langgang yang boleh berubah dalam masa beberapa bulan.
Mengapa rakyat tidak percaya dengan fakta-fakta ini sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan II dan Naib Ketua Pemuda UMNO terpaksa diperuntukkan sekian banyak ruang untuk mempertahankan fakta-fakta ini?
Sungguh melucukan, kerana sepatutnya spin doctors yang menyelamatkan boss, tapi kini jadi terbalik, boss pula yang menyelamatkan para pakar propaganda ini.
Hakikat utama mengapa semua ini tidak dipercayai rakyat ialah kita tidak merasa apa yang mereka nyatakan.
Mereka mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan terbaik sejak tujuh, lapan tahun lalu. Malangnya, rakyat makan gaji, usahawan kecil dan sederhana merasakan tiga tahun terakhir hampir sama perit dengan 1998.
Gaji tidak meningkat, jualan runcit tidak meningkat tetapi harga barang naik, tol naik, petrol naik dan kadar pinjaman asas (BLR) turut naik. Semuanya naik dengan kadar yang banyak. Justeru di mana kemakmuran ekonomi yang dilaungkan?
Padahnya memaparkan statistik yang dimanipulasi ini ialah rakyat semakin hilang kepercayaan kepada cakap-cakap kerajaan dan media massa pro UMNO.
Mungkin ada kenaikan seperti yang didakwa dalam FDI dan juga nilai dagangan. Tapi aneh sekali mengapa kenaikan yang kononnya cukup besar ini tidak terasa kepada rakyat? Rakyat lebih tertanya-tanya apabila jumlah-jumlah angka yang diberi ialah dalam jumlah RM bukannya Dollar seperti kebiasaannya. Apakah terdapat manipulasi fakta di sini berikutan kelemahan nilai Dollar sekarang ini?
Kenaikan BSKL
Kenaikan BSKL sememangnya tidak dapat dinafikan dan tidak menghairankan. Ini kerana kerajaan membenarkan kembali spekulasi pasaran saham. Kebenaran ini sedikit sebanyak membantu kenaikan BSKL. Selain itu trend kenaikan ini amat global sekali sehinggakan indeks Nikkei Jepun turut mencatatkan paras tertinggi sejak beberapa minggu lalu.
Namun terdapat juga keraguan bahawa apakah aliran masuk ini tulen atau banyak dibantu oleh dana-dana KWSP dan Khazanah melalui pengurus dana asing yang kemudiannya melaburkan semula di sini.
Misalnya, jika KWSP dan Khazanah memperuntukkan beberapa billion kepada pengurus dana asing dengan syarat mereka melabur kembali ke Malaysia ini akan dikesan sebagai pelabur asing. Adakah ia akan menguntungkan negara? Tidak. Yang untung hanyalah pengurus dana asing yang mengutip komisyen.
Sehingga beberapa bulan lagi, rakyat akan terus bersikap pesimis dan menanti sejauh mana benarnya fakta kerajaan.
Soalnya mampukah kerajaan mempertahankan momentum ini? Jika tidak apakah akan terjadi pecahan buih ekonomi seperti 1997. Dan jika ini berlaku masih adakah kemampuan kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi negara seperti 1997 jika benar dakwaan bahawa kenaikan statistik sekarang ini banyak dibantu oleh wang dalam negara sendiri tetapi berselindung di sebalik nama pengurus dana asing? Jangan nanti ketika itu, wang KWSP dan Khazanah sendiri yang terperangkap dalam kejatuhan BSKL.
Selebihnya, kenaikan BSKL tidak akan memberi apa-apa kesan ketara kepada rakyat biasa yang masih terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.
Pelaburan Asing dan Tempatan
Laporan PBB mengenai FDI ke Malaysia juga amat berbeza dengan laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau NSTP.
Kerajaan juga melaporkan bahawa jumlah pelaburan asing dan tempatan meningkat sebanyak RM 40 billion. Tapi bukankah pada tahun lalu kerajaan meluluskan satu peruntukan berjumlah RM 46 billion kepada MITI untuk pelaburan dalam dan luar negara?
Apakah kita pasti bukan wang tersebut yang digunakan semula untuk melabur secara terus dalam negeri dan juga secara tidak langsung menggunakan pengurus dana asing seperti Standard and Poor dengan syarat mereka kembali melaburkan wang tersebut ke dalam Malaysia?
Kenaikan Nilai Dagangan
Sekali lagi isu ini menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai. Apakah kenaikan nilai dagangan ini disebabkan kelemahan Dollar atau sememangnya ia merupakan peningkatan kuantiti yang sebenar dan menyeluruh.
Jika ia hanyalah merupakan peningkatan akibat perubahan kedudukan nilai mata wang, maka sekali lagi peningkatan ini sebenarnya tiada signifikan kepada rakyat negara ini keseluruhannya. Dengan kata lain tidak wujud peluang kerja lebih masa, pembayaran bonus produktiviti sekaligus tidak mewujudkan kekuatan kuasa beli rakyat.
Kekuatan kuasa beli kita telah pun dibunuh melalui kenaikan mendadak harga petrol, BLR, Tol dan harga barang. Justeru apa sahaja kenaikan indikator ekonomi yang tidak menjurus kepada peningkatan produktiviti dan pendapatan dalam negara sebenarnya tiada makna sekali kepada kita semua.
Propaganda Murahan Makan Diri
Tujuan sebenar Kalimullah dan Khairy Jamaluddin mengusulkan propaganda ini hanyalah untuk memburukkan Tun Dr. Mahathir dan menutup mulut bekas Perdana Menteri tersebut dari terus mengkritik kerajaan.
Malangnya, ia menjadi masalah besar bila fakta-fakta bombastik ini menimbulkan kemarahan rakyat. Jika kita lihat, Perdana Menteri mahu pun Timbalan Perdana Menteri tidak mengatakan sikap-sikap skeptikal ini datang dari pembangkang.
Ini bermakna laporan yang diterima mereka menunjukkan bahawa majoriti rakyat tidak menerima kenyataan propaganda ini. Tentulah rakyat berasa marah bila hidup mereka yang lebih susah dari 4 tahun lalu tiba-tiba didakwa jauh lebih baik. Apakah mereka terlalu bodoh untuk menilai sendiri kehidupan mereka?
Jika sesiapa yang membaca tulisan Khairy Jamaluddin dalam Mingguan Malaysia ahad lalu tentu berasa malu dengan penilaian yang beliau tulis.
Menantu Perdana Menteri ini, yang dianggap oleh Perdana Menteri sebagai anak muda yang brilliant, antara lain mendakwa kita perlu menerima kenaikan kos hidup dari semasa ke semasa. Beliau juga mendakwa bahawa kita harus bersyukur kerana Malaysia masih merupakan negara yang paling murah untuk didiami?
"Hakikatnya, ini bukanlah retorik yang tidak berasas. Inilah hakikat yang terbukti hasil kajian yang dilakukan oleh UBS, sebuah bank bertaraf dunia. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa Kuala Lumpur merupakan bandar termurah untuk didiami berbanding 71 bandar-bandar utama yang lain. Ini menunjukkan walaupun kerajaan berani untuk mengurangkan subsidi dan menerima pelbagai cemuhan, Malaysia masih lagi merupakan negara yang paling murah dari segi kos sara hidup."
Yang tidak dinyatakan oleh Khairy Jamaluddin kajian tersebut menggunakan sampel apa, responden mana dan untuk siapa?
Malahan kajian tersebut tidak pun mengatakan Kuala Lumpur negara paling murah. Sebaliknya ia menyatakan "Western shoppers, on the other hand, can pick up goods cheaply in Kuala Lumpur, Manama, Dubai and Kiev."
Laporan inflasi (Indeks harga Pengguna) Kuala Lumpur oleh kajian yang sama juga menunjukkan peningkatan sekali ganda dari 1.1 (2003) kepada 3.0 pada 2006.
Adakah berlaku peningkatan ketara dalam pendapatan kita dari 2003 ke 2006?
Kesimpulan
Rakyat negara ini pernah berkorban, mengikat perut, malah ada yang menghulurkan sumbangan berjuta ringgit untuk mempertahankan ekonomi negara pada 1997. Justeru janganlah merendah-rendahkan pengorbanan rakyat negara ini.
Kami tiada masalah untuk bersusah payah bersama kerajaan jika keadaan memerlukan. Namun tentulah kami tidak rela bersusah payah bila melihat pelbagai isu kelemahan pentadbiran ekonomi dan skandal penggabungan syarikat-syarikat milik kerajaan berlaku sewenang-wenangnya dalam setahun dua ini.
Perlukah kami bersama kerajaan ini jika harga tol dinaikkan sesuka hati, janji tinggal janji dalam isu harga petrol (yang dulu dijanjikan akan turun jika pasaran kembali turun), kenaikan BLR yang tinggi menambah beban hutang, kelembapan ekonomi kerana tindakan "bodoh" kerajaan menangguh tanpa sebab, mengubah tanpa perlu dan membelanja sesuka hati kepada sektor yang tidak mengembangkan ekonomi, menarik balik janji memberi buku teks percuma, mengurangkan perbelanjaan Kementerian Pelajaran tetapi membeli kapal terbang harga beratus juta, memperbaiki Seri Perdana berpuluh juta, membaik pulih sebuah sekolah dengan harga RM 20 juta.
Lebih lagi kami ingin bertanya sampai bilakah kerajaan ini berdolak dalik dan bermain tarik tali dalam pelbagai dasar yang telah diumumkan.
Usah lagi mempertahankan isu ini. Buktikan bahawa semua ini fakta dan rakyat makin senang. Nescaya BN menang lagi pilihan raya akan datang. Sebaliknya jika terus berbangga tidak bertempat atas ilusi ekonomi ciptaan kerajaan ini, tidak mustahil sebahagian kerusi BN akan ternyah kepada pembangkang.
Note: Source: MyKMU
Comments:
Post a Comment