<$BlogRSDURL$>

Saturday, February 10, 2007

Bawalah Hatimu Pulang Ke Asalnya 


Sepetang yang Mendebarkan di Antrim

"Assalamualaikum. Saya perlukan bantuan Imam.", Abdellah menahan saya di pintu masjid selepas Solat Asar. "Waalaikummussalaam. Insya Allah semampu yang mungkin, saya cuba membantu. Apa masalahnya, brother?", saya berhenti sambil merenung langit yang gelap dipintas awan mendung.

"Saya mahu mengajak Imam ke rumah saya. Saya harap Imam dapat membantu abang saya.", jawab Abdellah. Beliau merupakan salah seorang jamaah yang bersolat di masjid kami.

"Eh saya tak pernah tahu pun yang kamu ada adik beradik di sini. Kenapa dengan abang kamu?", saya agak terkejut kerana biasanya Abdellah hanya kelihatan bersama kawan-kawannya sahaja.

"Ya, dia sudah lama di Belfast. Sekarang ni dia semacam ada masalah. Sentiasa berkurung di dalam bilik. Selalu menangis dan kadang-kadang menjerit tak tentu hala hingga menakutkan kami.", Abdellah menjelaskan kepada saya. Kerut dahinya memahamkan saya bahawa permintaannya mesti saya penuhi.

"Mungkin dia kena rasuk jin agaknya, Imam!", ujarnya lagi.

"Hmm, saya tidak pandai dan tiada pengalaman dalam hal ini. Tetapi kita tawakkal sahaja kepada Allah. Bila kamu mahu saya ke rumah kamu?", saya bertanya.

"Sekarang!", Abdellah menarik tangan saya menuju ke keretanya. Belfast Lough sentiasa sibuk dengan kapal dan feri.

Perjalanan ke Antrim petang itu memakan masa hampir sejam. Pandangan mata saya terlepas jauh ke Belfast Lough yang sesekali ombaknya bergelora dipukul badai musim sejuk. Kelihatan sayup-sayup, kren Harland & Wolff (H&W) meratah usia tua selepas pernah gemilang membina kapal Titanic yang kononnya tidak mungkin dapat ditenggelamkan walau pun oleh Tuhan! Hati saya resah.

Apakah yang bakal saya hadapi petang ini? Saya tidak mempunyai pengalaman menghadapi kes-kes merawat orang yang dirasuk jin. Terdetik juga rasa `sesal' di hati. Susahnya menjadi Imam di Belfast. Usia saya baru 26 tahun. Tetapi disebabkan oleh tugas saya sebagai Imam tunggal dan pertama di sini, saya terpaksa mengendalikan pelbagai tugas yang terlalu besar untuk `budak hingusan' seperti saya ketika itu.

Ada yang datang mengadu masalah rumah tangganya kepada saya. Walhal ketika itu, saya baru sahaja beberapa bulan mendirikan rumah tangga. Kebanyakan kes rumah tangga yang menyedihkan saya ialah apabila lelaki Muslim berbangsa Arab atau Pakistan berkahwin dengan perempuan Kristian, menggunakan peruntukan berkahwin dengan Ahli Kitab. Tetapi motifnya hanya satu, untuk mendapatkan kerakyatan Britain. Perempuan-perempuan ini sering ditinggalkan begitu sahaja, selepas 4 tahun perkahwinan, suami hilang bersama sekeping pasport Britain yang disangkakan lesen kebahagiaan dunia. Kepala saya berserabut menghimpun statistik.

Abdellah memandu keretanya dengan tenang. Lebuhraya Belfast ke Antrim sesak dengan kenderaan orang ramai pulang dari tempat kerja masing-masing. Saya dan Abdellah tidak banyak berbicara. Masing-masing sedang tenggelam dalam fikiran yang berkecamuk. Seperti trafik di M2 pada petang itu. Hati saya semakin berdebar dan akhirnya, selepas melewati bulatan ke lapangan terbang, saya tiba di rumah Abdellah.

Saya dipersilakan masuk oleh Abdellah ke dalam rumah. Nampaknya sangat cozy walaupun taste Arab masih dapat dikesan daripada perabut-perabutnya yang bercat kuning emas.

"Ya Allah, aku gagahkan sahaja diri ini demi membantu hamba-Mu. Berilah aku perlindungan dan aku bertawassul dengan niatku yang mahu membantu hamba-Mu ini semata-mata kerana-Mu ya Allah", saya duduk di atas sofa. Cahaya rumah itu suram dan malap, seperti ahlinya.

Abdellah membawa turun abangnya dari tingkat atas. Beliau diperkenalkan sebagai Ali. Saya terpaku melihat mukanya.

Petang itu saya melihat wajah yang amat menggusarkan hati saya. Entahlah, sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata. Semacam ada awan hitam yang menyelaputi mukanya sehinggakan mata saya rasa kurang berdaya untuk menatap wajah Ali. Air mukanya bercampur baur antara dendam, sedih dan marah. Keliru barangkali...

"Assalamualaikum Brother Ali. Nama saya Abu Saif", saya menghulurkan tangan.Ali menyambut lemah. Semacam ada kedinginan padanya menerima kedatangan saya.

"Izinkan saya untuk membantu. Saya tidak punya apa-apa namun kita sama-sama mohon bantuan dari Kuasa di atas sana. Yang Sentiasa Memerhatikan kita.", saya cuba memulakan perbualan.

Sepi.

Ali tidak memberikan sebarang respon. Pandangan matanya banyak tertumpu ke lantai.

"Ali, saya akan bacakan beberapa petikan ayat al-Quran perlahan-lahan. Kamu cuba ikut saya pada mana-mana ayat yang kamu tahu.", saya memohon kerjasamanya. Abdellah menepuk-nepuk belakang abangnya agar menurut arahan saya.

"Kami mohon perlindungan dengan-Mu ya Allah, dari syaitan yang terkutuk lagi tercela. Aku mulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih...", saya memulakan bacaan.

Saya yakin, ayat-ayat dan zikir yang saya amalkan dari himpunan al-Ma'thurat, adalah bekalan terbaik yang boleh saya gunakan. Apakah ada yang lebih baik daripada apa yang menjadi amalan dan kebiasaan Nabi SAW sendiri?

Saya membaca dari satu petikan surah ke surah yang lain. Kadang-kadang pada ayat yang saya rasakan penting untuk di'rasa' maknanya, saya ulang ia beberapa kali.

Saya nampak ada sedikit perubahan di wajah Ali. Kalau tadinya, wajah beliau seakan-akan tiada perasaan, mula terbit kemerah-merahan di bawah matanya. Tangannya sedikit ketar dan tiba-tiba, matanya menumpahkan tangisan seperti anak kecil yang merengek kelaparan.

Saya meneruskan bacaan sambil menepuk-nepuk belakang tangannya yang saya genggam.

"Sabar ya akhi. Mintalah bantuan dari Allah. Kita ini hamba-Nya.", saya cuba menyabarkan Ali.

Air matanya terus turun melimpah-limpah. Ketika sampai kepada firman Allah di penghujung surah al-Baqarah, saya berhenti seketika...

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau hitung kami sebagai bersalah, jika kami lupa atau kami tersilap. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap mereka yang kufur terhadap-Mu".

Bibir Ali terkumat kamit seakan-akan cuba mencari kembali ingatannya kepada ayat yang saya bacakan itu. Beliau merenung mata saya semacam memberitahu bahawa di hadapan saya ada seorang manusia yang sedang tenggelam di pusar air. Bagai terbaca di matanya jeritan meminta pertolongan. Saya sedih...

Tidak banyak yang saya lakukan petang itu. Hanya al-Ma'thurat yang menjadi bekal. Selepas kami berdoa, Ali bangun dan naik ke tingkat atas rumah. Sendunya masih terdengar sayup-sayup di bilik atas.

"Terima kasih Imam atas pertolongan kamu!", kata Abdellah.

"Brother, janganlah berterima kasih kepada saya. Saya tidak berbuat apa-apa. Apa yang saya buat, hanyalah membacakan kembali kepada abangmu kata-kata Tuhannya yang mungkin sudah lama dia tinggalkan. Abangmu Ali bersolat?", saya cuba mencungkil asal usul masalah yang membelenggu ahli rumah itu.

"Tidak. Tidak pernah saya melihat dia bersolat. Kami tiba ke Belfast dari Algeria sudah lebih 4 tahun yang lalu. Abang saya nampaknya semacam terkena kejutan budaya. Dia tidak pernah solat, tidak pernah ke masjid, dia minum arak, malah...", saya memberhentikan kata-kata Abdellah.

"Tak apalah saudaraku. Kesilapan-kesilapan yang lalu biarkan ia berlalu. Bak kata orang Arab, wa maa faaata faat, wa man maata maat. Yang sudah lepas, biarkan ia berlalu, yang telah mati, biarkan ia mati. Mulakan sahaja hidup baru", saya tidak mahu keaiban Ali diceritakan kepada saya.

Saya mengambil peluang untuk mengingatkan diri saya dan Abdellah bahawa jasad fizikal kita mungkin tidak terasa dengan dosa. Tetapi hati, roh dan jiwa kita terseksa.

"Roh kita asalnya `dekat' dengan Allah. Apabila dijauhkan dari asalnya, dia akan terseksa, kesunyian, dan menderita seperti jiwa perantau yang tercampak di bumi asing. Sering gelisah dan mahu mengecap asal usul yang telah ditinggalkan. Jika rintihan hati kita diabaikan, akhirnya ia akan mati lantaran sakit rindu kepada asalnya. Bawalah kembali diri kita semua ke asal kita, bahawa kita dekat dengan Allah.", saya menamatkan bicara di situ.

Jam di tangan sudah menunjukkan tepat jam 5 petang. Waktu Maghrib sudah pun masuk dan saya mengajak Abdellah bersolat jemaah bersama. Beliau cuba mengajak abangnya sama tetapi Ali enggan turun.

"Dia menyuruh kita bersolat dulu, Imam", kata Abdellah kepada saya.

"Tak apa, Insya Allah kita berbaik sangka. Mudah-mudahan hatinya terbuka untuk kembali bersolat.", saya tersenyum dan Abdellah mengangguk setuju.

Jumaat itu, Ali muncul di masjid buat kali pertama semenjak beliau tiba di Belfast. Saya sempat melemparkan senyuman kepadanya ketika menyampaikan khutbah. Segala puji bagi-Mu ya Allah. Tuhan yang lebih suka Mengampunkan hamba-Nya daripada Mengazab mereka.

Kisah ini muncul semula di fikiran saya, ketika saya, Muna dan Saif berkunjung ke Istanbul pada Disember 2003. Ketika azan dilaungkan, tiba-tiba hati saya menjadi pilu dan timbul rasa hairan di fikiran saya..., "apakah yang ganjilnya ini?"

Barulah saya tersedar, sudah lebih 3 tahun saya tidak mendengar kalimah Tauhid berkumandang di udara. Walaupun di masjid, ada azan yang dilaungkan, namun ia hanya di dalam kawasan masjid. Perasaan menghayati dan mendengar puji puja kepada Allah berkumandang di seluruh ruang udara, adalah terlalu indah.

Allah, selama ini tidak pernah saya sedari, bahawa di dalam jiwa saya berlaku suatu kekosongan. Rindu kepada laungan azan berkumandang di udara, tidak saya sedari sehinggalah seribu menara masjid di Istanbul membelah langit dengan kalimah yang mengagungkan Ilahi.

Sesungguhnya nilai sesuatu sering kita abaikan. Sehinggalah ia hilang dari genggaman, baru kita tersedar akan kehilangannya. Ya Allah, janganlah Kau biarkan kami alpa tentang nilai hidup ini, hingga hanya mampu tercelik selepas mati, bahawa tiada lagi peluang amal. Tiada lagi peluang menyelamatkan diri...

Jangan seksa jiwa dan hatimu. Dia merintih mahu pulang dari perantauan di dunia yang melekakan ini. Bawalah hati kita kembali ke asalnya. Asalnya yang sentiasa `dekat' dengan Allah...

Dekatilah masjid wahai anak perantau!


Comments:
Salam Tuan,

Artikel ini adalah petikan dari ebsite www.saifulislam.com. Mohon jasa baik tuan tambahkan sumber asal bagi memastikan hak cipta artikel ini terpelihara. Terima kasih. :)
 
Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?