<$BlogRSDURL$>

Wednesday, December 31, 2003

Kenali Migrain 

Migrain juga dikenali sebagai hemikrania, perkataan Greek yang membawa maksud sebelah tengkorak. Ia juga dikenali sebagai vascular headache. Sakit kepala yang berlaku berulang, berdenyut-denyut selalunya terjadi sebelah kepala sahaja. Ada juga yang bermula di sebelah kepala sahaja dan kemudiannya melarat kedua-dua belah kepala. Dalam kes yang teruk, migrain menyebabkan pening (nausea), muntah, cirit-birit, pengekalan cecair badan (retention of fluid) dan sensitif kepada bunyi dan cahaya.


Jenis-jenis migrain yang utama

Classic migraine
Lebih kurang 10% hingga 15% pesakit migrain mengalami migrain jenis ini. 10 hingga 30 minit sebelum berlakunya migrain, tanda-tanda awal (warning) berlaku. Tanda-tanda ini dikenali sebagai aura atau prodrome dan ia berlaku selama 5 - 15 minit. Tanda-tanda aura ini adalah seperti berikut :

- Terlihat cahaya terang (bright spots),
- Garisan zigzag (zigzag lines),
- Penglihatan berganda (double vision),
- Buta sementara (temporary blindness),
- Kebas (numbness),
- Kepala terasa berpusing (dizziness),
- Pening (drowsiness),
- Sukar bercakap (slurred speech) dan keliru (confusion).
* Selepas tanda-tanda ini hilang, migrain mula menyerang.

Aura dikatakan disebabkan oleh saluran darah yang menghantar darah ke otak dan tisu sekelilingnya mengecil sementara, jadi menghad penghantaran darah ke bahagian tersebut. Ini menyebabkan gangguan pada saraf rasa dan pengawalan motor. Bagaimanapun ada juga yang mengatakan bahawa aura bermula di sistem saraf - satu fenomena yang dikenali sebagai spreading depression of the cortex. Ada kajian yang menunjukkan bahawa pengaliran darah hanya bertambah beberapa jam selepas aura terjadi dan sakit kepala bermula.

Common migraine
Tanpa warning terlebih dahulu seperti classic migrain. Lebih biasa terjadi. Sebab-sebab terjadinya migrain Ia berlaku bila saluran darah mengembang dan mengecut dengan cepat.

Migrain juga dikaitkan dengan proses pembengkakan (inflammasi). Kenapa ia berlaku sedemikian masih belum dikenalpasti secara jelas. Bagaimanapun, beberapa perkara penting yang menyebabkan fenomena ini berlaku adalah seperti yang dinyatakan di bawah :

i) Keturunan
Saluran darah individu tertentu tidak begitu sensitif kepada kesan-kesan penyejukan (effect of cooling). Membran platlet pula tidak mampu mengekalkan serotonin dengan effektif (serotonin adalah bahan kimia dalaman yang boleh mengecutkan saluran darah).

ii) Pemakanan
Makanan yang mengandungi monosodium glutamate MSG (seperti Ajinomoto), cheese,
nitrate, coklat, kekacang, alkohol dan aspartame boleh menyebabkan migrain. Ada antara makanan ini yang mengandungi tyramine atau phenylethylamin yang boleh bertindak mengembangkan saluran darah, jadi menyebabkan migrain. Kemungkinan juga makanan ini menyebabkan reaksi allergik yang akan menyebabkan migrain.

iii) Diet
Menurunkan kandungan gula dalam darah mungkin menyebabkan migrain. Ini kerana kandungan gula yang rendah menyebabkan saluran darah mengembang.

iv) Tidak makan atau lambat makan mengikut waktu juga boleh menyebabkan terjadinya migrain.

v) Orang yang kerap meminum minuman yang mengandungi kaffein seperti kopi, teh, nescafe, coca-cola dsb selalu menghadapi caffeine withdrawal syndrom bila mereka cuba menghentikan tabiat mereka secara mendadak. Sindrom ini sama dengan migrain. Ini adalah kerana kaffein menyempitkan saluran darah, dan memberhentiannya akan menyebabkan saluran darah mengembang.

vi) Hormon.
Turun naik hormon wanita, oestrogen, dikaitkan dengan kejadian migrain. Migrain mungkin tidak disebabkan oleh oestrogen secara terus, tetapi disebabkan oleh paras oestrogen yang tidak menentu naik dan turun.

vii) Mengandung.
Selalunya kejadian menurun semasa mengandung.

viii) Haid.
Ramai wanita yang mengalami migrain sebelum, semasa dan selepas dating haid.

ix) Pil perancang.
Ada pil perancang yang mengandungi oestrogen. Ini boleh menyebabkan migrain.

x) Menopause (putus haid).
HRT (hormone replacement therapy) yang menggunakan hormon termasuk oestrogen menyebabkan mereka yang mengambilnya mengalami migrain.

xi)Tidur.
Berlaku pertukaran dalam masa tidur dan jaga. Terlebih atau terkurang tidur juga menyebabkan migrain.

xii) Pemakanan yang tidak teratur.

xiii) Ubat
Ubat yang menyebabkan saluran darah mengembang boleh menyebabkan migrain. Begitu juga dengan beberapa persediaan herba seperti yang mengandungi ginkgo biloba.Penggunaan berlebihan ubat migrain juga boleh menyebabkan migrain.

xiv) Penyebab-penyebab lain.
- Perubahan cuaca.
- Cuaca terang matahari atau lampu.
- Bunyi bising yang kuat. Bau yang kuat.
- Menonton tv, memandang skrin komputer dengan lama.
- Stress dan tekanan emosi. Sesetengah orang mengalami migrain selepas menghadapi tekanan emosi dan sesetengahnya semasa menghadapi tekanan emosi.
- Jantina. Perempuan lebih kerap (tiga hingga empat kali lebih kerap berbanding lelaki).
Merokok.

Rawatan Tanpa ubat
i) Menghadkan pemakanan dan makan secara teratur. Perempuan yang menghadapi migrain sebelum haid perlu mengurangkan pemgambilan garam kerana garam boleh menyebabkan fluid retention.

ii) Pengurangan stress seperrti senaman yang kerap dan teratur dan mengamalkan
teknik-teknik untuk mengurangkan tegangan badan.

iii) Kenakan benda yang panas seperti menggunakan botol air panas ke tempat yang kena.

iv) Kenakan benda yang sejuk seperti beg yang mengandungi ais.

v) Cara hidup yang lebih teratur seperti makan secara teratur dan dapatkan tidur yang cukup.

vi) Baring di tempat yang gelap dan senyap pada permulaan migrain.

vii) Biofeedback. Pesakit diajar mengawal pengembangan dan pengecutan otot dan
saluran darah. Teknik ini lebih berkesan jika diajar kepada pesakit kanak-kanak.

viii) Rawatan lain yang mungkin boleh menolong anda ialah refleksologi (urut saraf kaki). Petua orang-orang tua seperti basahkan bahagian bawah (iaitu dari kaki ke badan dan ke kepala) dahulu semasa anda mandi mungkin juga berkesan.

Ubat

a) Ubat pemberhenti.

i) Vasocontrictors. Ergotamine dan dihydroergotamine mengecutkan saluran darah. Penting untuk mengambilnya pada permulaan migrain.

ii) 5-HT agonist seperti Sumatriptan, Naratriptan, Zolmitriptan, Rizatriptan. Ia berfungsi dengan bertindak menggantikan fungsi serotonin.

iii) Isometheptene.

iv) Kombinasi aspirin + acetaminophan + caffeine.


b) Ubat melegakan.
i) Analgesic (ubat tahan sakit) termasuk narcotic analgesic tetapi ia boleh menyebabkan ketagihan.

ii) Corticosteroid untuk migraine yang lama (sehingga 24 jam) kerana ia boleh mengurangkan inflamasi.


c) Ubat pencegahan.
i) Sesuai untuk yang menghadapi migrain dua kali atau lebih setiap bulan atau migrain yang terlalu teruk sehingga menganggu perjalanan hidup seharian.

ii) Beta blocker terutamanya propranolol melancarkan perjalanan darah.

iii) Calcium channel blocker melancarkan perjalanan darah.

iv) Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs), aspirin. Aspirin mengurangkan sakit dan juga mengurangkan pengumpulan platlet.

v) Ubat anti-depressant seperti amitryptyline boleh mengawal kandungan serotonin.

vi) Riboflavin atau vitamin B2 dalam lingkungan 400mg sehari. Herba, Antara rawatan herba yang digunakan untuk melegakan sakit migrain ialah St.John's wort (hypericum), feverfewdan gastrodia. Kelebihan rawatan jenis ini ialah ia tidak melibatkan ubat-ubatan yang selalunya mempunyai kesan-kesan sampingan yang tidak baik. Bagaimanapun, rawatan herba mengambil masa yang lebih lama dan memerlukan pesakit mengambil herba tersebut untuk jangkamasa lama sebelum kesannya dapat dilihat.


TEORI MENGENAI MIGRAIN
Teori tentang migrain disebabkan oleh pengembangan saluran darah sahaja tidak boleh dibuktikan sepenuhnya. Ada yang menyangkalnya dengan bertanya sekiranya teori di atas betul, kenapa migrain berlaku di sebelah kepala sahaja. Saraf (nervous system) bertindak balas terhadap perkara-perkara yang menyebabkan migrain seperti stress. Ini menyebabkan spasm di saluran darah yang kaya dengan saraf seperti arteri di tapak otak kepala. Spasm ini menutup atau mengecilkan beberapa saluran arteri yang membekalkan darah ke otak.

Apabila ini berlaku, pengaliran darah ke otak berkurangan. Pada masa yang sama, platlet (partikel yang berfungsi mengawal pembekuan darah) melekat antara satu sama lain dan ini menyebabkan bahan kimia serotonin dikeluarkan oleh badan. Serotonin ini mengecilkan lagi saluran darah arteri - jadi mengurangkan lagi bekalan darah ke otak. Pengurangan pengaliran darah ke otak ini menyebabkan bekalan oksigen ke otak berkurangan. Itulah sebabnya tanda-tandanya seperti pendengaran dan percakapan yang terganggu sama seperti tanda-tanda orang yang kena strok (angin ahmar). Bila bekalan oksigen berkurangan, ada saluran darah arteri yang mumbuka lebih luas untuk memenuhi permintaan tenaga daripada otak. Pembesaran saluran darah arteri ini mengeluarkan bahan yang menyebabkan kesakitan iaitu prostaglandins daripada tisu-tisu dan sel-sel darah.

Bahan-bahan yang menyebabkan inflamasi (pembengkakan) seperti neuropeptides dan yang menyebabkan meningkatnya sensitiviti kepada rasa sakit juga dikeluarkan. Bahan-bahan ini dan juga pengembangan saluran darah arteri menyebabkan terjadinya migrain.

Jenis-jenis migrain yang lain
i) Hemiplegic migraine - rasa lemah sebelah badan. Gene yang berkaitan dengan familial hemiplegic migraine ini boleh dikenalpasti.

ii) Ophtalmoplegic migraine - sekeliling mata.

iii) Basilar artery migraine - berlaku disturbance di saluran darah arteri ke otak yang utama.

iv) Benign exertional headache - disebabkan aktivit-aktiviti seperti berlari, batuk, bersin.

v) Status migraine - berlaku sehingga 72 jam atau lebih. Kesakaitan yang dirasa sangat teruk.

vi) Headache-free migraine - tidak sakit kepala, tetapi pening, masalah penglihatan, sembelit, cirit-birit.


Migrain di kalangan kanak-kanak
Sebelum baligh kejadian migrain di kalangan kanak-kanak lelaki dan perempuan sama. Selepas itu, selalunya lebih ramai perempuan mengalami migrain. Selalunya kanak-kanak mengalami migrain di kedua-dua belah kepala atau di bahagian hadapan kepala sahaja. Jangkamasanya pula lebih pendek - ia mungkin berlaku selama 30 minit sahaja. Berbanding dengan migrain dewasa, migrain di kalangan kanak-kanak selalunya menyebabkan masalah perut yang lebih teruk. Antara tanda-tanda migrain berlaku ialah muntah, cirit-birit, selalu kencing, dahaga dan berpeluh.



This page is powered by Blogger. Isn't yours?