<$BlogRSDURL$>

Tuesday, September 18, 2007

Puasa Sebagai Nyahtoksik 

BERPUASA pada bulan Ramadan merupakan satu ibadat asas dari segi kerohanian seorang Islam kerana ia adalah salah satu daripada lima tiang agama Islam. Ia juga merupakan masa untuk menumpukan perhatian terhadap pembersihan dalaman – rohani dan jasmani.

Ramadan memberi peluang kepada seseorang untuk membersihkan badan daripada segala racun yang terkumpul melalui ibadat puasa.

Pencemaran yang berlaku sejak bertahun-tahun boleh menimbun dalam badan anda dan menjadikan anda keletihan dan tidak bermaya. Berpuasa merupakan salah satu cara nyahtoksik yang paling berkesan.


Toksik luaran dan dalaman
Toksik berlaku pada dua aras yang asas – luaran dan dalaman. Kita memperoleh toksik dari alam sekitar dengan menyedutnya melalui pernafasan, menelan atau menyentuhnya secara fizikal.

Kita makan dan minum serta memaksanya ke atas diri kita dengan kerap. Kebanyakan ubat, bahan-bahan perisa makanan dan alergen (agen penyebab alahan) boleh menimbulkan anasir-anasir toksik dalam badan kita.

Dari segi aras dalaman, badan kita mengeluarkan toksik melalui fungsi hariannya yang normal. Kegiatan-kegiatan biokimia, selular dan aktiviti-aktiviti badan lain menjana jisim-jisim yang perlu dihapuskan. Radikal bebas merupakan toksin biokimia.

Apabila radikal bebas ini tidak dihapuskan, ia boleh menyebabkan keradangan atau inflamasi pada sel-sel dan tisu, dengan itu menghalang fungsi-fungsi normal di peringkat selular dan organ dan keseluruhan badan.

Teori radikal bebas mengenai penuaan menyatakan bahawa organisme menua kerana lama-kelamaan sel-sel akan terkumpul dan menambah kerosakan-kerosakan akibat radikal bebas.

Radikal bebas terlibat dalam lebih 60 penyakit degeneratif, dari penyakit kanser ke kencing manis dan dari penyakit Alzheimer ke penyakit jantung.


Apa yang harus dimakan, apa yang patut dijauhi

Nyahtoksik melibatkan mengubah tabiat pemakanan dan gaya hidup yang mengurangkan pengambilan toksin serta meningkatkan penghapusannya.

Mengelakkan bahan kimia daripada makanan atau dari sumber lain seperti makanan-makanan yang diproses contohnya mi goreng, nasi lemak, daging merah, gula, kafeina, minuman berkarbonat, tembakau dan beberapa jenis ubat lagi akan membantu mengurangkan beban toksin.

Makanan-makanan ini menyumbat sistem kita dan membuatkan kita berasa letih dan tidak bertenaga.

Dengan meminum lebih banyak air (sekurang-kurangnya lapan gelas sehari) dan menambah pengambilan serat dengan mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar dalam diet kita merupakan langkah dalam proses nyahtoksik.

Di bawah ini terdapat panduan rujukan ringkas mengenai ramuan-ramuan biasa yang sering digunakan untuk nyahtoksik dan pembersihan dalaman:

* Asid Alfa-lipoik (ALA), berfungsi sebagai antioksidan yang larut air dan lemak, ALA berfungsi secara bersinergi bersama vitamin C dan E; membantu pengeluaran glutation (sejenis antioksidan penting dikeluarkan secara semula jadi oleh badan) dan menyumbang keupayaan badan untuk meneutralisasikan kerosakan angkara radikal bebas dan menggalakkan nyahtoksik.

* Bioflavonoid, sebahagian daripada kompleks vitamin C yang dijumpai dalam kulit buahan sitrus serta buah-buahan dan sayur-sayuran lain; bioflavonoid meningkatkan aktiviti dan penyerapan vitamin C.

* Milk Thistle (Silybum marianum), membersih dan memperkuatkan hati dengan meningkatkan paras glutation (sehingga ke 35%); mengubah membran-membran luaran pada sel-sel hati, dengan itu mewujudkan suatu penyekat yang mencegah toksin daripada memasukinya.

* Akar Dandelion (Taraxacum officinale), merangsangkan hati untuk menyahtoksik racun-racun; merangsangkan pelepasan hempedu daripada pundi; bertindak sebagai pencuci darah, serta sebagai julat dan diuretik.

* Serat, larut dan tidak larut, memperbaiki fungsi usus, membersihkan usus, dan melegakan sembelit. Biji pokok flaks dan jem epal merupakan sumber serat yang amat baik.

* Teh Hijau, Catechin, sebatian yang aktif dalam teh hijau meningkatkan pengeluaran sekumpulan penyahtoksik penting secara mendadak.

* Akar Licorice (Glycyrrhiza glabra), julat lembut yang melegakan membran usus yang bengkak.

* Kulit Pokok Slippery Elm (Ulmus fulva), membersihkan lendir dalam usus dan melegakan keradangan dan kejadian ulser.

Nyahtoksik jisim-jisim berbahaya daripada badan anda adalah satu proses penting. Keupayaan untuk menghapuskan toksin ini menentukan tahap kesihatan anda.



Tip: Ambillah minuman “hijau” yang lengkap, kerana ia kaya dengan nutrien-nutrien nyahtoksik seperti isi halia, Horsetail dan lain-lain seperti di atas untuk membantu membersihkan hati anda, buah pinggang, usus, dan juga sel-sel daripada pencemaran tersebut.

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?