<$BlogRSDURL$>

Wednesday, September 12, 2007

Nutrisi di bulan Puasa 


RAMADAN merupakan bulan untuk meningkatkan ketakwaan, bulan di mana umat Islam bermuhasabah secara mendalam, memohon taufik dan hidayah serta keampunan daripada Allah.


Berpuasa ialah salah satu daripada lima tiang agama Islam. Al-Qur'an ada menyatakan sebab utama berpuasa ialah untuk mencapai ketakwaan atau keinsafan terhadap Allah. Ketika berlapar dahaga, umat Islam mengingati penderitaan golongan miskin.

Berpuasa juga merupakan peluang melatih hawa nafsu serta menyucikan minda serta membersihkan tubuh badan daripada segala racun yang terkumpul. Ia merupakan ibadat asas dari segi kerohanian seorang Islam, demikian juga penjagaan kesihatan seseorang.

Bagaimanapun, beberapa masalah biasa sering dihadapi pada bulan puasa termasuk pengambilan nutrien yang tidak mencukupi, penyakit gastritis, dehidrasi, sembelit, minda tidak fokus serta keletihan/kelesuan.


Nutrisi warga emas


Pada bulan puasa, golongan tua mungkin mengalami kekurangan beberapa nutrien perlu disebabkan oleh kurang makan.


Kebanyakan mereka tidak terdaya untuk makan dengan banyak ketika berbuka. Bersahur juga mungkin sedikit kerana kebanyakan mereka kurang selera untuk makan pada waktu seperti itu.


Tip: Adalah penting untuk mengimbangi pengambilan karbohirat, protein dan makanan berlemak. Cubalah makan banyak buah- buahan segar dan sayur atau ulam yang sarat dengan fitonutrien dan vitamin.


Kurangkan pengambilan nasi putih dan mi kerana ia mengandungi kalori yang tinggi dan rendah nilai nutrisinya. Beras perang dan roti secara sederhana merupakan pilihan yang baik.


Makanan berprotein adalah penting untuk membantu mengekalkan kepadatan otot. Pilihan yang sihat termasuk ikan, ayam tanpa kulit dan minuman protein soya yang diperkuat serta bermutu tinggi.


*Nutrisi golongan muda

Golongan muda mempunyai masalah yang berlainan pula. Mereka cenderung makan terlampau banyak. Satu kajian dilakukan ke atas sekumpulan golongan muda Arab Saudi untuk membuat perbandingan tentang pengambilan nutrisi dan corak pemakanan mereka semasa dan selepas Ramadan.


Terdapat peningkatan ketara dalam pengambilan kalori, lemak, karbohidrat dan protein. Walaupun terdapat pengurangan kekerapan mengambil makanan dan bilangan makanan yang dimakan di luar keluarga, namun terdapat peningkatan ketara dalam berat badan mereka pada bulan Ramadan.


Apa yang harus dimakan, dijauhi semasa berbuka


Lazimnya diet kita ketika berbuka ialah makanan yang mengandungi kalori yang tinggi, gula, garam, kolesterol dan lemak-lemak berbahaya (lemak tepu dan lemak trans) tetapi mengandungi rendah nilai nutrisi.


Lemak tepu dan lemak trans merupakan sebab utama peningkatan kolesterol darah. Sumber-sumber utama lemak tepu dalam hidangan berbuka puasa termasuklah ayam goreng, rendang daging, gulai masak lemak yang kaya dengan santan.


Tip: Elakkan daripada kulit dan lemak apabila memakan daging kerana ia mengandungi lemak tepu yang tinggi, contohnya kepak ayam. Sebaliknya, pilihlah bahagian seperti dada. Kalau boleh elakkan makanan bergoreng atau pilihlah masakan kukus, bakar, panggang atau rebus.


Lemak trans yang dijumpai dalam kebanyakan kek, biskut dan kuih-muih boleh menaikkan jumlah kolesterol serta LDL (kolesterol jahat) dan pada masa yang sama menurunkan HDL (kolesterol baik).


Bukti saintifik menunjukkan pengambilan lemak tepu, lemak trans, dan kolesterol akan meningkatkan paras lipoprotein berkepadatan rendah (LDL), atau kolesterol jahat yang seterusnya akan meningkatkan risiko penyakit jantung koronari (CHD).


Minuman untuk berbuka biasanya termasuklah sirap bandung, air jagung manakala minuman panas yang manis merupakan pilihan biasa pada waktu sahur. Kurangkan minuman-minuman yang manis ini.


Sebaliknya, minumlah sekurang-kurangnya lapan gelas air bertapis setiap hari untuk membantu membersih dan menghapuskan badan anda daripada toksin-toksin yang terkumpul.


Meskipun gula secara langsung tidak menyebabkan penyakit kencing manis, tetapi kalori yang berlebihan boleh menjadi puncanya. Pengambilan kalori yang berlebihan lazimnya akan menyebabkan peningkatan berat badan dan kegemukan - faktor risiko utama penyakit kencing manis.


Oleh itu, kurangkan gula kerana ia juga akan menyebabkan kenaikan paras gula dalam darah anda dan seterusnya menaikkan paras insulin. Banyak bukti menunjukkan hiperinsulinemia (paras insulin serum yang tinggi) merupakan penyebab wabak kegemukan pada hari ini.


Hidangan sahur seperti ikan dan telur masin dengan nasi lazimnya dimakan bersama kuah seperti gulai masak lemak. Kurangkan hidangan-hidangan seperti ini kerana ia biasanya mengandungi garam dan karbohidrat yang tinggi dan rendah nilai nutrisinya. Sebaliknya, makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran atau ulam dengan agak banyak.


Tip: Sekiranya ini sukar diamalkan, maka ambillah suplemen formula protein soya hijau yang bermutu. Ia mengandungi 76 fitonutrien/makanan terbaik dalam suatu minuman kesihatan yang lengkap sebagai jaminan untuk kesihatan anda.


Suplemen-suplemen nutrisi seperti vitamin, zat galian, fitonutrien dan asid-asid amino dapat merapatkan jurang nutrisi dan membantu menyediakan nutrisi yang optimum pada bulan puasa.


Ringkasnya, pengambilan diet yang seimbang adalah penting untuk mengekalkan kesihatan yang baik, agar anda boleh meneruskan gaya hidup aktif dan mencapai manfaat sepenuhnya daripada puasa bulan Ramadan.

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?