<$BlogRSDURL$>

Friday, October 28, 2005

Menyambut Syawal antara syariat dan adat 

NAMA: Nidzamuddin Zakaria.
JAWATAN: Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Nilai, Negeri sembilan.

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda bidang Hadis dan Pengajian Islam dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan Sarjana bidang Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya.

PENGALAMAN: Pensyarah Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) 1997-1998, Dekan Fakulti Al-Quran dan Hadith di IPTIPs 1998 - 2000, Penolong Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) di IPTIPs 2000 - 2001 , Tutor Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di KUIM (2001 - 2004), Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, KUIM 2004 - 2005 dan Penceramah Radio Malaysia Perlis (Segmen Mutiara Hadis) 1998 - 2004.

SYAWAL menjelang lagi. Ia adalah hari kemenangan bagi umat Islam kerana berjaya menyucikan jiwa daripada nafsu dunia dan kembali kepada fitrah yang suci.

Lantaran itu, Aidilfitri disambut dengan penuh rasa kehambaan dan kesyukuran dengan iringan takbir, tahmid dan tasbih.

Sesungguhnya kegembiraan menyambut Aidilfitri tidak diungkapkan dengan menuruti hawa nafsu tetapi disalurkan sesuai dengan syariat Islam. Sewajarnya beginilah cara umat Islam menyambut Aidilfitri.

Namun, budaya masyarakat setempat sedikit sebanyak mempengaruhi bentuk sambutan ini, sehinggakan banyak amalan-amalan yang kurang bertepatan dengan syariat dicampuradukkan hingga sukar dibezakan antara adat dengan syariat.

Lupakah mereka akan maksud sebenar Aidilfitri, sehingga mereka lebih mengutamakan perkara-perkara sampingan daripada tuntutan agama.

Temubual dengan Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Nilai, Negeri sembilan, Nidzamuddin Zakaria dapat menjelaskan amalan seperti bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi, pemberian duit raya dan 'rumah terbuka' agar bertepatan dengan roh dan semangat Syawal.

Soalan: Kesempatan yang tidak pernah dilepaskan oleh umat Islam sewaktu menyambut hari raya, ialah amalan bermaaf-maafan. Ia sudah menjadi satu kebiasaan pada pagi hari raya. Adakah perbuatan ini hanya perlu dilakukan pada hari raya?

Jawapan: Hakikatnya tidak ada masa tertentu atau musim yang khusus untuk kita bermaaf-maafan. Cuma apabila berada pada hari kebesaran Islam, hari kedamaian dan hari kegembiraan umat Islam, eloklah kita menggunakan kesempatan bermakna ini, untuk mengikis perasaan ego dan takbur diri dengan memaafkan segala kesalahan saudara-saudara kita.

Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda maksudnya: Harta itu tidak akan luak atau berkurangan akibat sedekah, tidaklah bertambah di sisi Allah s.w.t bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang merendah diri melainkan akan diangkat oleh Allah s.w.t. (Riwayat Muslim)

Bertepatan dengan Aidilfitri yang juga merupakan hari perdamaian, kerana pada hari itu dinyatakan perdamaian hidup sama ada dalam rumah tangga, hubungan sesama kaum kerabat atau sanak saudara dan rakan taulan serta seluruh kaum Muslimin, sama ada di desa mahu pun kota, semuanya menyambut kedatangan Syawal mulia ini dengan wajah berseri-seri, hati yang girang dan tangan bersalam-salaman mengucapkan Selamat Aidilfitri sambil bermaafan. Ini selaras dengan apa yang ditunjukkan Baginda kepada salah seorang sahabat dalam sepotong hadis bermaksud:

Daripada Uqbah bin Amir katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Uqbah! Mahukah aku nyatakan padamu sebaik-baik akhlak penduduk dunia dan akhirat? Iaitu kamu memaafkan orang yang telah menganiaya dirimu. Kamu memberi atau menolong orang yang telah memutuskan pemberiannya kepada kamu dan kamu menghubungkan silaturahim dengan orang yang telah memutuskan perhubungan denganmu. (Riwayat al-Hakim dalam Kitab al-Mustadrak)

Dalam kita bermaaf-maafan itu, adakah perlu mengikut hierarki, seperti yang muda kepada yang tua dan sebagainya ataupun apabila kita merasa telah melakukan kesilapan, tidak kira usia kita terus meminta maaf?

Setiap makhluk bernama manusia tidak terlepas daripada dosa dan kesalahan, sama ada kepada Tuhan atau sesama makhluk, khususnya sesama manusia. Sama ada dosa itu secara sedar atau tidak, zahir mahu pun batin.

Bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud : Setiap anak Adam itu pasti akan melakukan kesalahan, namun sebaik-baik orang yang telah melakukan kesalahan itu adalah mereka yang bertaubat atau memohon ampun (iaitu kepada Allah s.w.t dan saudaranya yang lain). (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Kesalahan sesama manusia terjadi sama ada berbentuk penganiayaan, pengambilan hak secara tidak sah, umpatan (kata-kata di belakangnya), kata nista dan sebagainya.

Sekiranya ia bersangkutan dengan pengambilan hak orang lain tanpa jalan yang halal atau izin tuannya, seperti mencuri atau merampas hak orang lain, maka ia harus dipulangkan kembali, melainkan sekiranya ia dimaafkan atau dihalalkan oleh saudaranya.

Adapun kesalahan selain itu seperti umpatan, kata nista dan seumpamanya, ia dapat diluputkan atau dilangsaikan dengan bermaaf-maafan. Justeru, hari baik dan bulan baik inilah waktu yang paling bermakna untuk kita saling bermaaf-maafan dan redha-meredhai agar makna agung 'al-Fitri', iaitu kembali kepada fitrah dan kesucian diri dapat dimanifestasikan dalam kehidupan masyrakat kita seluruhnya.

Dalam perkembangan era teknologi yang semakin canggih, pastinya turut mengubah kehidupan masyarakatnya. Di antaranya ada yang menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memohon maaf kepada ibu bapa disebabkan pelbagai faktor?.

Ibu bapa kita telah bersusah payah membesarkan kita dan sanggup berkorban apa sahaja, berpenat lelah dan berusaha sedaya upaya mendapatkan nafkah untuk menyara anak-anak, mereka sanggup berjimat dan mengikat perut semata-mata untuk mengenyangkan anak-anak, sehingga ada di antara anak-anak mereka yang hidup senang-lenang kerana mendapat pendidikan yang sempurna.

Begitulah tingginya nilai kasih sayang dan agungnya layanan mesra ibu bapa pada anak-anak yang berupa permata hati mereka.

Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Ahkaf ayat 15 bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

Justeru, alangkah eloknya jika anak-anak dapat membalas jasa bakti ibu bapa mereka dengan memberi semula layanan yang sempurna, apatah lagi bersempena dengan hari agung dan kemuliaan umat Islam ini.

Tindakan memohon ampun dan maaf daripada ibu bapa sekadar menggunakan medium SMS, adalah sangat tidak wajar dan dilihat sebagai suatu bentuk layanan dan perhubungan yang biasa sahaja, seperti perhubungan dengan rakan dan taulan, bahkan ia tidak menggambarkan status ibu bapa di tempat yang mulia.

Oleh itu, lahirkanlah layanan yang istimewa dan cinta yang setinggi-tingginya kepada semulia-mulia insan dengan mencium tangan ibu bapa tersayang pada hari mulia ini.

Namun, sekiranya ada halangan yang membataskan hal tersebut, sekurang-kurangnya gunakanlah medium telefon untuk ucapan selamat hari lebaran dan memohon ribuan kemaafan.

Sebenarnya ucapan yang terbit dari mulut anak itu adalah lebih enak dan manis didengar ibu bapa, berbanding dengan keenakan dan kelazatan juadah hari raya itu sendiri.

Satu lagi amalan yang digalakkan di dalam Islam, iaitu menziarahi kuburan. Sayangnya di sini, amalan sebegini lebih popular pada pagi hari raya sahaja?

Sebenarnya, menziarahi kubur adalah sunah yang disyariatkan Nabi Muhammad s.a.w. dalam agama Islam kerana ia mengingatkan seseorang kepada Hari Akhirat. Dalam sepotong hadis, Baginda menegaskan: Aku dahulunya pernah melarang kamu semua menziarahi kubur, sekarang ziarahlah ia, lantaran ia dapat mengingatkan kamu dengan Hari Akhirat. (Riwayat Muslim)

Akan tetapi, sudah menjadi budaya dan adat umat Islam di sini yang menghidupkan sunah tersebut hanya pada hari-hari tertentu, iaitu pagi Hari Raya Aidilfitri. Apatah lagi hari tersebut dirasakan kurang sempurna kalau tidak bersama dengan orang tersayang, biarpun mereka telah pergi ke rahmatullah.

Pun begitu, sekiranya ziarah kubur pada hari mulia tersebut boleh membawa kepada kesedihan yang berpanjangan dan memudaratkan, maka ia menjadi makruh pula.

Walau bagaimanapun, amalan tersebut bolehlah diteruskan, cuma biarlah ia tidak dijadikan amalan bermusim atau mengikut sempena tertentu. Ziarahlah kubur pada hari-hari yang lain juga, lebih-lebih lagi semasa jenazah dikebumikan, lantaran banyaknya pahala yang terdapat dalam amalan mengiringi jenazah ke kuburan.


Seperkara lagi, jagalah adab-adab sewaktu berada di tanah perkuburan, di antaranya; mengucapkan salam, doakan keampunan buat mereka yang telah pergi lebih dahulu daripada kita, elakkan memakai perhiasan yang melampau atau pakaian yang kurang sopan dan elakkan perbuatan yang bidaah dan khurafat di tempat tersebut.

Bagaimana pula adab menziarahi sesama Islam. Siapakah yang perlu diberikan keutamaan, sama ada jiran terdekat, saudara mara dan teman-teman?

Bersabit dalam hadis riwayat Jabir bin Abdullah, Baginda akan mengambil suatu jalan semasa pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri dan akan mengambil jalan yang lain pula semasa pulang daripada solat tersebut.

Hikmahnya adalah bagi meramaikan sahabat-sahabat dan jiran tetangga yang ditemui atau diziarahi untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan beroleh kemenangan berpuasa selama sebulan Ramadan.

Justeru, adalah lebih elok sekiranya pada pagi Aidilfitri telah bersalam-salaman dan mengucapkan tahniah atas kejayaan menunaikan ibadat puasa selama sebulan, lantas mendoakan agar amalan-amalan itu diterima Allah dengan lafaz: Taqabbalallahu minna wa minkum Soleh al-'Amal.

Doa-mendoakan sesama Islam juga aspek penting yang perlu dihidupkan pada hari lebaran agar terpancar syiar keimanan dan ketakwaan pada hari mulia itu, bukan sekadar hari untuk bersuka ria atau berseronok.

Namun begitu, kadang-kadang kita hanya melafazkan: Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin hinggakan kita terlupa ucapan yang lebih bermakna daripada itu, iaitu; mendoakan agar segala amalan sebulan Ramadan ini diterima dan dimakbulkan Allah.

Bagaimana pula halnya dengan pemberian duit raya. Adakah ia satu keperluan dalam agama atau hanya suatu budaya?

Kalau pemberian itu suatu keperluan, maka ia akan menjadi suatu perkara yang rumit bagi golongan yang kurang berkemampuan. Jika amalan tersebut menjadi suatu budaya pula, ditakuti ia hanya tradisi masyarakat atau adat kebiasaan dan bukan dilihat sebagai ibadat bersedekah yang dianjurkan dalam Islam.

Oleh itu, konsep pemberian duit raya seharusnya berpaksikan tujuan dan niat yang jelas bertepatan dengan sepotong hadis Nabi yang menganjurkan umatnya bertukar-tukar hadiah kerana ia mengundang perasaan mahabbah sesama Islam.

Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: Bertukar-tukarlah hadiah atau pemberian, nescaya kamu akan berkasih sayang dan menghilangkan perasaan benci. (Riwayat Baihaqi)

Adakah terdapat hadis ataupun pendapat ulama yang menjelaskan pemberian duit raya menjadi satu keutamaan?

Secara langsung memanglah tidak ada nas yang khusus berkenaan duit raya ini, tetapi kalau secara tidak langsung, memang wujud gesaan atau hadis Baginda tentang tingginya kebaikan di sisi Tuhan sekiranya kita dapat mewujudkan atau menimbulkan kegembiraan di hati saudara-saudara kita yang lain.

Sepotong hadis Nabi ada menyebutkan: Sesiapa yang menimbulkan kegembiraan di hati mana-mana penghuni rumah, nescaya Allah s.w.t. tidak meredhai baginya melainkan diberikan pemberian syurga-Nya. (Riwayat Tabrani)

Lantaran itu, eloklah kita serikan dan meriahkan hari lebaran terutama di kalangan golongan yang kurang bernasib baik, kurang berada atau kanak-kanak.

Bagaimanakah pula bagi yang tidak mampu tetapi apabila melihat orang lain memberi duit raya, maka dia terpaksa juga memberinya?

Pemberian duit raya adalah antara amalan-amalan kebajikan atau pemberian ikhlas seseorang yang disunatkan dalam Islam. Ia bukanlah sampai kepada tahap seperti zakat fitrah yang wajib ke atas setiap umat Islam.

Justeru, berikanlah sumbangan itu dengan seikhlas dan setulus hati, tanpa dipaksa oleh rasa bersalah sekiranya ia tidak dapat memberikannya. Sekiranya tidak mampu memberikan duit, maka juadah hari raya yang disajikan juga mencapai maksud pemberian yang dianjurkan dalam Islam.

Ataupun sesetengah orang ada yang memberi hadiah berupa gula-gula yang dibungkus sebagai alternatif bagi yang kurang berkemampuan.

Bagaimanakah sepatutnya penghayatan Ramadan agar tidak berlaku amalan pembaziran?

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Isra' ayat 26 dan 27 bermaksud: Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan adalah syaitan itu kufur terhadap Tuhan-Nya.

Selama sebulan lamanya kita ditarbiah dalam situasi yang sederhana, sama ada dalam aspek pemakanan, minuman, kehidupan seharian dan seumpamanya. Tambahan pula, sebagaimana yang kita semua maklum, bahawa sepanjang kita berpuasa sebenarnya kita bermujahadah melepaskan diri daripada kongkongan syaitan.

Oleh itu, adalah bertentangan dengan roh dan jiwa Ramadan apabila kita yang meninggalkan syaitan pada bulan Ramadan, tiba-tiba menjadi kawan atau sahabat syaitan menjelang Syawal dengan pembaziran yang melampau.

Lantaran itu, bagaimanakah semangat Syawal yang perlu diterapkan?

Semangat yang perlu diterapkan di antaranya ialah:

1. Semangat kita dengan Allah s.w.t.:

Seorang hukama pernah berkata: "Bukanlah hari raya itu dengan baju yang baru, tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan takwa yang semakin jitu." Semangat ketakwaan yang semakin menebal dan kukuh di jiwa setiap calon yang telah berjaya menamatkan latihan Ramadan selama sebulan, itulah makna hari raya sebenarnya yang dikehendaki syarak.

Begitu juga dengan semangat 'kembali baru atau fitrah', itulah manifestasi Aidilfitri yang bermakna kembali (aidil) ke pangkal fitrah (fitri) yang suci dan murni. Suci dari segala kotoran lahiriah dan batiniah serta bersih daripada noda dan dosa adalah hasil yang paling berharga pada hari raya ini.

Dalam pada itu juga, Aidilfitri harus disambut dengan penuh kesyukuran kepada Yang Esa atas nikmat agung berupa Hari Kebesaran yang dihadiahkan Allah kepada sekalian hamba-Nya yang telah menamatkan ibadat puasa pada bulan Ramadan.

2. Semangat kita sesama manusia

Semangat bermaaf-maafan, iaitu buangkan yang keruh, ambil yang jernih adalah semangat yang harus diterapkan sempena hari mulia ini. Janganlah hanya kerana isu memilih kampung untuk beraya contohnya, akhirnya bergaduh suami isteri pada hari mulia ini. Ia tentunya bertentangan dengan roh atau semangat hari raya yang berupa hari perdamaian dan berbaik-baik antara sesama Muslim.

Begitu juga semangat bantu-membantu terutamanya terhadap golongan yang susah, seperti anak-anak yatim, golongan fakir dan miskin, ibu-ibu tunggal, kaum mualaf dan seumpamanya. Mereka juga ingin mengecapi nikmat raya dan kemeriahan Syawal yang menjelang.

Sumbangkanlah sekadar termampu apa jua bantuan bagi mereka yang kurang bernasib baik tersebut. Mereka yang dibantu pula jangan lupa berterima kasih kepada yang menghulurkan bantuan bersesuaian dengan hadis Nabi bermaksud: Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang sedikit, pasti tidak bersyukur dengan nikmat yang banyak. Sesiapa yang tidak berterima kasih dengan manusia, sebenarnya, dia tidak bersyukur dengan Allah s.w.t. (Riwayat Imam Ahmad).

Semangat ziarah-menziarahi, mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan perpaduan sesama insan amat penting. Kadang-kadang, ada yang tidak pernah bertegur sapa selama bertahun-tahun lamanya atau tidak pernah berkunjung ke rumah saudara mara selama sekian lama. Maka, inilah masa terbaik untuk kita menjalinkan semula ikatan silaturahim sesama kita bertepatan dengan gesaan Nabi s.a.w. yang bermaksud: Sesiapa yang menginginkan agar murah rezeki dan dilanjutkan ajalnya, maka hubungkanlah silaturahim. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimana cara sunah Nabi dalam menyambut Aidilfitri?

Di antara sunah Nabi s.a.w. dalam menyambut Hari Agung umat Islam ini adalah dengan banyak bertakbir, bertahmid, bertasbih dan bertahlil seawal bermulanya malam 1 Syawal. Ia dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah s.a.w., takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.

Kita patut membersih atau mengemas diri seperti menggunting rambut di bahagian kepala dan anggota badan agar tampil kemas, segak dan bergaya pada hari raya mulia. Dalam hal ini, bau-bauan yang harum seperti minyak wangi, atar dan sebagainya juga digalakkan bagi meraikan hari mulia ini.

Mandi juga di sunatkan pada pagi 1 Syawal sebagaimana dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar di dalam kitab al-Muwatta', bahawa Rasulullah s.a.w. mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bertolak ke masjid.

Disunatkan juga makan terlebih dahulu sebelum berangkat ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri berpandukan hadis Anas bin Malik yang menjelaskan bahawa Baginda s.a.w. makan kurma dengan bilangan yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Acara yang paling kemuncak pada Hari Raya Aidil Fitri ini adalah solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbahnya. Sunat pula pergi menunaikan solat itu dalam keadaan berjalan kaki sebagaimana mafhum hadis Ali bin Abi Talib dalam Sunan Tirmizi. Cuma bagi yang agak jauh jarak rumah ke masjid, maka bolehlah mereka menaiki kenderaan kerana agama Islam bersikap terbuka dalam bab ini.

Di dalam Sahih Imam Muslim disebutkan bahawa Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan membaca surah al-'Ala pada rakaat pertama dan al-Ghasyiah pada rakaat kedua.

Baginda juga menyuruh seluruh umat Islam datang ke lapangan terbuka agar mendengar khutbah hinggakan kepada kaum wanita, tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya. Cuma mereka yang uzur diarahkan agar berada di luar masjid kerana halangan keuzuran tersebut seperti riawayat Ummi 'Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

Pada pagi hari raya yang indah ini juga, sunat bagi kita memakai pakaian yang terbaik dan tercantik. Imam Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.

Pada hari lebaran ini juga sunat bagi kita umat Islam mengucapkan tahniah dan selamat, di samping saling berdoa agar amalan-amalan kita sepanjang Ramadan lepas diterima Allah.

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?