<$BlogRSDURL$>

Saturday, October 22, 2005

Pak Lah reda, kesunyian: PM patuh ajaran Islam banyak bersabar hadapi kematian isteri tercinta 


Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi reda dengan pemergian isteri tersayang, Datin Seri Endon Mahmood kelmarin walaupun mengakui mula berasa kesunyian.

KASIH BERKEKALAN: Abdullah ditemani anaknya, Nori serta dua cucunya, Arif dan Alya Kamaluddin menyiram air mawar di pusara Endon di Tanah Perkuburan Taman Selatan, Presint 20, di Putrajaya, semalam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, Islam mengajar umatnya supaya bersabar dan tabah apabila menghadapi kematian mereka yang dikasihi.

"Tak taulah...boleh jadi pasal agama itu penting. Mengikut ajaran agama, bila kita kehilangan ahli keluarga, kita mesti banyak bersabar," katanya kepada pemberita selepas menziarahi pusara isterinya di Tanah Perkuburan Taman Selatan, Presint 20, di sini semalam.

Abdullah, yang pertama kali berkongsi perasaan dengan wartawan sejak pemergian Endon ke rahmatullah kelmarin, ditanya bagaimana beliau dilihat begitu tabah menghadapi kematian isteri tercinta.

Walaupun masih bersedih, beliau kelihatan amat tenang ketika menziarahi pusara Allahyarham semalam, ditemani anaknya, Kamaluddin dan Nori. Turut hadir ialah cucu, dua menantunya, Khairy Jamaluddin dan Azrene Abdullah serta rakan karib Allahyarham, Lela Mohd Ali.

Perdana Menteri dan keluarga tiba di tanah perkuburan itu jam 12.35 tengah hari. Mereka kemudian berdoa, menabur bunga dan menyiram air mawar selama kira-kira 10 minit sebelum beredar.

Endon menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.50 pagi kelmarin di depan keluarga, selepas 18 hari pulang daripada menjalani rawatan kanser yang dihadapinya sejak lebih tiga tahun lalu, di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Abdullah berkata, sokongan anggota keluarga banyak membantu ketabahan beliau menghadapi pemergian Allahyarham.

"Anak, cucu, menantu semua ada (beri sokongan)," katanya sambil menambah, beliau masih sibuk tetapi malam semalam tidur awal selepas dua hari tidak tidur.

Beliau juga tidak merancang bercuti sebaliknya akan meneruskan kerja seperti biasa dan berterima kasih kepada rakyat yang mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham.

"Terima kasih banyak-banyak kerana ucapkan takziah secara SMS, surat dan pesan melalui kawan. TV tadi pun ada SMS. Ingatan mereka kepada saya dan keluarga serta dukacita mereka Endon tidak ada lagi, saya ucapkan terima kasih," katanya.

Perdana Menteri turut terharu di atas kehadiran rakan-rakan dari luar negara yang bersusah payah datang ke sini bagi menghadiri majlis pengebumian Allahyarham.

"Banyak dari luar negara...saya ucap terima kasih. Saya hargai ada yang hantar wakil yang ketua tidak dapat datang, saya ucap terima kasih," katanya.

Antara pemimpin negara asing yang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham kelmarin ialah Presiden Singapura, S R Nathan; Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong; Menteri Kanan, Goh Chok Tong; Timbalan Perdana Menteri, S Jayakumar dan Menteri Luar, George Yeo.

Wakil Sultan Brunei, Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan isteri Dayangku Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman serta Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo.



©The New Straits Times Press (M) Berhad

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?