<$BlogRSDURL$>

Tuesday, September 12, 2006

Keratan Harian Metro: FAM tidak ada hak sabit saya 


Oleh Kamarulzaman Pid


“SAYA tidak akan hadir untuk menjawab pertuduhan yang dikenakan memandangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tidak mempunyai hak di bawah perlembagaannya untuk mensabitkan saya dengan pertuduhan dan kesalahan itu,” kata Datuk Ahmad Basri Akil mengenai surat arahan daripada FAM supaya beliau hadir pada 14 September ini di Wisma FAM, Kelana Jaya, bagi menjawab pertuduhan itu.

Alasan Ahmad Basri begitu mudah.

“Pada masa kenyataan yang disiarkan pada 4 September, 2006 itu dibuat, saya adalah rakyat biasa dan pencinta sukan bola sepak yang bertindak untuk kebaikan sukan ini.

“Dalam sebuah negara demokrasi yang memberi hak dan kebebasan kepada rakyatnya menyatakan perasaan dan pandangan, saya rasa apa yang saya lakukan adalah satu tindakan ikhlas untuk kebaikan masyarakat umum dan juga kemajuan sukan bola sepak,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Dalam surat bertarikh 7 September lalu, FAM mengarahkan Ahmad Basri supaya hadir di mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Khamis ini (14 September), jam 3.00 petang, di Wisma FAM, Kelana Jaya, atas tuduhan:

(1) Melakukan kesalahan dengan membuat kenyataan akhbar atau memberi sumbangan akhbar di dalam Harian Metro bertarikh 4 September 2006 di muka surat 55 dan 56 mengenai Akademi Bolasepak Negeri tanpa mendapat kebenaran daripada FAM. Perkara ini telah melanggar perlembagaan bola sepak Malaysia Perkara 9.05.

(2) Kenyataan akhbar terbabit bertujuan untuk mengaibkan FAM kerana fakta yang diberi adalah tidak tepat dan salah.

Ahmad Basri menjelaskan, kontraknya sebagai pengurus pasukan bola sepak Kedah tidak disambung selepas 15 Ogos melalui surat daripada Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Salomi Shaari, bertarikh 9 Ogos 2006.

“Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) telah menamatkan perkhidmatan saya sebagai pengurus pasukan berkuatkuasa pada 16 Ogos, 2006. Selain itu saya sama sekali tidak tergolong di bawah Artikel 9.05 Perlembagaan Persatuan Bolasepak Malaysia sama ada sebagai pegawai, jurulatih atau pengadil atau sebagai ahli atau ahli bersekutu atau pemain yang didaftar atau diambil berkerja oleh mana-mana ahli atau ahli bersekutu.

“Ini bererti saya mempunyai hak dan kebebasan untuk menyatakan pandangan dan pendapat kepada umum tanpa melanggar sebarang peruntukan Perlembagaan atau Undang-Undang FAM,” katanya.

Sehubungan itu Ahmad Basri memulangkan ‘paku buah keras’ kepada FAM dengan menegaskan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap FAM demi memastikan nama baiknya tidak dicemari badan induk bola sepak negara itu.

“Sila ambil ingatan bahawa saya berhak membela diri dan mencari keadilan sekiranya pihak FAM bertindak di luar batasan haknya dan sekiranya sebarang keputusan atau tindakan itu, kini dan seterusnya mencemar pendirian dan hak saya sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

“Di atas kedudukan ini, saya meminta Datuk Seri Dr Ibrahim Saad agar lebih teliti menjalankan urusan FAM.

“Beliau harus menarik balik pertuduhan ini memandangkan saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan pihak FAM tidak mempunyai asas kukuh menghukum mana-mana rakyat Malaysia di atas haknya mengkritik dan menegur serta memberi pandangan positif dan ikhlas terhadap aktiviti dan cara tindakan FAM,” katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?