<$BlogRSDURL$>

Wednesday, August 23, 2006

Perlembagaan Persekutuan Melindungi Kedudukan Islam Di Malaysia 

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI

DEBAT mengenai adakah Malaysia ini sebuah negara Islam atau sebenarnya negara sekular kembali masuk – biarpun tidak menyeluruh – ke dalam ruang perbincangan awam, dan baru-baru ini telah dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Satu pihak berpandangan bahawa Perlembagaan Persekutuan pada sepanjang masa, dari merdeka sampai sekarang, menjadi asas yang menetapkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular walaupun Islam dinyatakan dalam Artikel 3 sebagai agama rasmi negara.

Dokumen undang-undang itu tidak mempunyai satu preamble yang jelas yang menggariskan sifat negara ini sama ada Islam atau sekular seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Republik Islam Pakistan, misalnya.

Sungguhpun begitu, Suruhanjaya Reid yang ditugaskan mengggubal Perlembagaan itu dalam laporannya ada menyebut bahawa kedudukan Islam sebagai agama rasmi "tidaklah membayangkan negara ini bukan sebuah negara sekular.”

Persoalan mengenai kedudukan Islam dan kesannya kepada status negara ini mula diajukan kepada mahkamah pada tahun 1988 dalam kes rayuan Che Omar Che Soh terhadap hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya kerana tuduhan mengedar dadah.

Dia mempertikaikan kesahihan hukuman itu atas alasan kerana Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kerana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, hukuman mati itu tidak sah kerana bertentangan dengan hukum hudud dan qisas dan kerana itu, bertentangan dengan Perlembagaan.

Mahkamah menolak rayuan itu. Dalam penghakimannya, Tun Salleh Abbas (Ketua Hakim Negara ketika itu) memutuskan antara lain bahawa Perlembagaan itu secara terang mengekalkan undang-undang sekular yang terpakai sebelum daripada merdeka, dan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.

Sungguhpun demikian, Perlembagaan pada masa yang sama turut memberikan kedudukan yang agak istimewa kepada Islam berbanding agama-agama lain. Keistimewaan ini bagaimanapun, seperti menurut Profesor Andrew Harding dalam bukunya Law, Government and the Constitution in Malaysia adalah lebih untuk menjaga ketenteraman awam dan bukannya memberikan keutamaan kenapa mana- mana agama.

Ada dua sebab kenapa keutamaan itu diberikan kepada Islam. Pertama, ia bertolak daripada hakikat sejarah negara ini sendiri dan rantau Nusantara yang berpaksi di atas hubungan antara kaum. Ini rantau yang menyedut masuk pedagang dan pendatang dari pelbagai latar belakang kaum; kaum-kaumnya pula ditandai dengan agama yang mereka anuti.

Hubungan antara kaum itu pula pernah beberapa kali bertembung dan tercemar dengan pertelagahan yang lazimnya berakar daripada konflik agama, atau setidak- tidaknya ada hubung kaitnya walaupun sedikit dengan soal kepentingan agama, sehingga adakalanya mengakibatkan pertumpahan darah.

Dahagi 1915 di Singapura yang menyaksikan pemberontakan sepoi dari keturunan India Muslim dikatakan tercetus ura-ura pemerintah koloni British yang ketika itu sedang berperang dengan orang Islam di Turki mahu menghantar mereka melawan Empayar Uthmaniah.

Kita tahu apa yang berlaku di Singapura dalam Rusuhan Natrah pada Disember 1950 – kes yang asalnya melibatkan soal hak penjagaan tetapi kemudian meletup menjadi konflik agama. Kita juga tentu ingat kepada rusuhan kaum juga di Singapura pada hari sambutan Maulud Nabi Januari 1964, dan tentu sekali tragedi di negara ini, peristiwa 13 Mei 1969.

Kedudukan Islam sebagai agama rasmi itu juga sebenarnya adalah penegasan kepada sifatnya yang sudah bertapak jauh lama sebelum daripada kedatangan penjajah dan bahawa sepanjang pemerintahan penjajah kedudukannya itu tidak pernah diganggu oleh mana-mana kuasa penjajah.

Keutamaan itu juga diberikan kerana sifat agama Islam itu sendiri yang berbeza daripada agama-agama lain, dalam erti kata, ia bukan hanya sekadar hal-hal yang bersifat ritual semata-mata tetapi melingkupi semua urusan kehidupan termasuk undang-undang.

Keutamaan kepada agama Islam itu pun bukanlah semata-mata kerana kedudukannya yang diberikan melalui Artikel 3 tetapi ia dikukuhkan oleh peruntukan- peruntukan lain yang digubal dalam Perlembagaan itu sendiri.

Selain meletakkan Islam sebagai agama rasmi, Perlembagaan juga pada Artikel 12(2) menetapkan bahawa kerajaan boleh dari segi undang-undang menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam, menyediakan pengajaran agama Islam kepada orang Islam dan menanggung perbelanjaan bagi tujuan-tujuan tersebut. Hal-hal itu tidak boleh dipersoalkan.

Perlembagaan juga memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk menubuh, mengurus, mentadbir dan menyenggarakan mahkamah syariah melalui Artikel 74. Artikel 121(1A) pula yang diperkenalkan pada 1988 adalah satu perlindungan kepada bidang kuasa mahkamah syariah.

Selain itu, Artikel 160 turut menyebut tentang Islam dalam soal mentakrifkan orang Melayu. Takrifan ini mempunyai implikasi yang besar kerana ia berhubung kait dengan soal kedudukan istimewa orang Melayu yang dipelihara melalui Artikel 153.

Islam juga turut dilindungi ketika darurat melalui Artikel 150(6A) yang menyekat kuasa Parlimen daripada mengganggu apa-apa perkara mengenai hukum syarak atau mengubah kedudukan apa- apa perkara berhubung dengan agama seperti yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan.

Perlindungan yang boleh dikatakan cukup ketara yang diberikan oleh Perlembagaan kepada Islam boleh dilihat pada Artikel 11(4). Sungguhpun Artikel 11(1) memberikan kebebasan kepada tiap-tiap orang untuk menganut dan mengamal agamanya, ia bagaimanapun meletakkan sekatan dalam urusan pengembangan agama.

Perlembagaan memberikan kuasa kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menggubal undang-undang bagai mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama selain daripada Islam di kalangan orang Islam.

Setakat ini, sembilan negeri – Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu – sudah menjalankan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing. Kelantan negeri yang paling awal pada tahun 1981, dan paling akhir ialah Johor pada 1991.

Di Selangor misalnya, undang-undang yang dikenali sebagai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Bukan Islam) Selangor 1988 itu menjadikan satu kesalahan sekiranya seseorang memujuk, mempengaruhi atau menghasut seorang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam, menjadi pengikut atau ahli agama bukan Islam atau meninggalkan atau membelakangi agama Islam.

Agama bukan Islam dalam enakmen itu ditakrifkan sebagai Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Judaisme dan apa-apa bentuk kepercayaan yang berasal daripada agama-agama tersebut. Tafsirannya juga mencakupi kepercayaan pagan dan animisme, serta apa-apa kepercayaan dan amalan yang tidak diperakui oleh Islam.

Ada sesuatu yang cukup menarik tentang kuasa di bawah Artikel 11(4). Satu soalan yang wajar ditanya ialah kenapa Parlimen sehingga sekarang belum lagi menggubal undang-undang yang sama bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya? Kenapa negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang pun tidak menggubalnya lagi?

Tampak jelas bahawa keutamaan dan perlindungan yang diberikan kepada Islam itu secara tidak langsung meletakkan negara ini sebagai sebuah negara Islam. Tetapi ia bukanlah sebuah negara yang boleh dianggap Islam sepenuhnya, dan pada masa yang sama, tidak pula boleh dianggap sebagai negara sekular.

Inilah sebuah negara yang mengamalkan dua sistem, dengan Islam diberikan kedudukan yang sedikit istimewa. Sungguhpun Islam diberikan keutamaan, agama-agama lain tidaklah pula sampai diketepikan. Perlembagaan masih melindungi kebebasan kepada masyarakat bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai, tidak membeza-bezakan semata-mata kerana faktor agama dan tidak memaksa sesiapa untuk menerima ajaran atau mengambil bahagian dalam upacara agama yang lain daripada agamanya.

Inilah kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh generasi yang menyambut kelahiran negara ini hampir 50 tahun lalu, yang harus difahami dan dihormati oleh generasi pewaris yang akan mengemudikan perjalanan masa depan Malaysia.

Mungkin kontroversi yang timbul mengenai perkara ini hanyalah seputar soal terminologi: Negara Islam itu apa? Adakah negara orang Islam atau negara yang ditadbir mengikut Islam?

Jawapannya barangkali sudah jelas.

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?