<$BlogRSDURL$>

Tuesday, January 03, 2006

Cyberknife - Pembedahan Robotik 


Petikan Utusan Malaysia-28 Disember 2005

Anda masih ingat Dr. McCoy - Star Trek? Dengan lagak seorang yang mempunyai mukjizat, dia hanya perlu mengimbas krew kapal menggunakan tricorder sensor bagi mengesan sebarang penyakit, seterusnya menyembuhkan mereka.

Yang menariknya, alat penderia itu sebenarnya dihasilkan oleh krew penggambaran daripada penggoncang garam, disebabkan oleh bajet mereka yang ketat. Ketika itu, Star Trek baru sahaja dilahirkan oleh penciptanya, Gene Roddenberry pada tahun 1964.

Hakikatnya, beberapa komponen utama ruang sakit Star Trek telah memberikan inspirasi kepada para peminat siri itu yang ada antara mereka kemudiannya berjaya menjadi saintis.

Setelah 40 tahun berlalu sejak Star Trek diperkenalkan, banyak daripada instrumen berteknologi tinggi yang disimulasikan di set penggambarannya kini menjadi satu realiti dan mampu merawat para pesakit di seluruh dunia.

Di sebalik menjalani pembedahan terbuka, pesakit kini hanya boleh berbaring selesa di atas meja yang menyerupai katil ruang sakit di atas kapal Enterprise sementara pengimbas automatik mendiagnos imej dalaman mereka.

Sementara itu, pembedahan bukan invasif - bebas mata pisau tanpa pemotongan, darah, ubat dan bius ini boleh dilakukan dengan penggunaan sistem radiosurgeri stereotaktik Cyberknife.

Nama sahaja pisau (knife) tetapi ciri-cirinya langsung tidak menyerupai pisau yang tajam menghiris.

Sebaliknya, Cyberknife merupakan robot pembedahan berkomputer dengan ketinggian lebih kurang 12 kaki. Ia seperti hidup dan menghasilkan gerakan-gerakan perlahan ala tai chi yang cukup mengasyikkan semasa prosedur rawatan.

Cyberknife menggunakan sistem pemanduan imej yang mirip kepada sistem yang digunakan di dalam teknologi peluru berpandu yang dilengkapi teknologi berkomputer di samping kamera imej sinar X.

Nampaknya, teknologi peluru berpandu pun kini telah melebarkan sayapnya menyertai peperangan menentang penyakit pula.

Malah, sesetengah penyakit yang selama ini dianggap `tiada harapan' sama ada tidak boleh dirawat atau dibedah oleh doktor, kini sudah pun boleh dirawat dengan adanya Cyberknife.

Misalnya, tumor kecil yang kompleks, yang tumbuh di dalam otak pesakit yang sebelum ini sukar dicapai oleh pakar bedah dan berisiko tinggi untuk dibuang.

Berita baiknya, anda tidak perlu bersusah payah keluar negara untuk memanfaatkan Cyberknife kerana apa yang mungkin anda tidak tahu adalah - ya, ia memang terdapat di negara ini.

Pengarah Perubatan Wijaya International Medical Centre (WIMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Abdul Rahman Mohamad memberitahu:

``Cyberknife menggunakan pancaran berganda radiasi yang bertenaga tinggi, bersumber daripada tangan robotik yang anjal ke ketumbuhan atau lesi yang telah disasarkan atau ditempatkan (seperti sistem pemanduan peluru berpandu) di dalam badan pesakit.

``Ia juga meminimumkan pendedahan radiasi terhadap tisu-tisu normal yang sihat di sekeliling tumor yang dirawat. Terapi radiosurgeri konvensional biasanya turut menjejaskan sebahagian besar tisu-tisu sihat yang tidak memerlukan radiasi.

``Malah, Cyberknife boleh disasarkan kepada tumor yang kecil atau mempunyai bentuk yang kompleks berdekatan struktur kritikal seperti saraf penglihatan dan pendengaran tanpa meninggalkan kesan terhadapnya.''

WIMC yang memulakan operasinya pada tahun 2005 sebagai pusat rawatan kanser, merupakan satu-satunya institusi perubatan yang menyediakan kemudahan Cyberknife di rantau Asia Pasifik, sejak September lalu.

Menurutnya, Cyberknife mengekalkan kelebihan-kelebihan yang terdapat pada radiosurgeri tetapi tanpa perlu menggunakan kerangka besi yang dipasang pada kepala pesakit.

Sebelum ini, kepala yang diskru bagi membolehkan pemasangan kerangka merupakan aspek paling mengerikan bagi para pesakit kanser yang terpaksa menjalani terapi radiasi ketumbuhan otak.

Sudahlah tumor itu sendiri merupakan satu pengalaman menakutkan, dengan menggerudi skru ke dalam tengkorak, ia membawa ketidakselesaan itu ke paras seterusnya. Malah, prosedur pemasangan kerangka kepala ini masih lagi dipraktikkan sehingga kini.

Tumor boleh jadi benigna (bukan kanser) dan malignan (berkanser dan boleh merebak ke bahagian lain badan). Cyberknife boleh merawat kedua-dua jenis tumor.

Sementara itu, kata Dr. Abdul Rahman, keanjalan tangan robot Cyberknife memungkinkan rawatan diberikan ke atas anggota badan seperti spina/tulang belakang dan sistem saraf pusat korda spina, yang selama ini tidak boleh dirawat menggunakan lain-lain teknik radiosurgeri.

Selain tumor otak berkanser, Cyberknife berupaya merawat tumor-tumor bukan kanser yang mungkin menekan saraf-saraf di dalam otak atau korda spina sehingga menyebabkan kesakitan yang teruk.

Dengan kadar ketepatan mencapai satu milimeter, Cyberknife juga boleh digunakan untuk merawat tumor pada organ lain badan seperti hidung, prostat, paru-paru, hati dan pankreas.

Cyberknife juga merupakan satu-satunya sistem seumpamanya yang berupaya mengimbangi pergerakan pesakit iaitu pergerakan dada semasa pernafasan demi memastikan penghantaran yang tepat sinaran radiasi semasa menerima rawatan.

``Matlamat utamanya adalah untuk membunuh tumor dengan cara mengecutkannya secara beransur-ansur dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun.

``Rawatannya yang mengambil masa lebih kurang sejam berupaya memberikan kelegaan segera kepada pesakit yang selama ini menderita kesakitan,'' kata Dr. Abdul Rahman.

Pesakit, katanya, boleh pulang ke rumah sejurus kemudian tanpa memerlukan cuti sakit. Mereka juga tidak dibekalkan dengan apa-apa preskripsi ubat-ubatan.

Pesakit cuma perlu mendapatkan rawatan susulan untuk melihat perkembangan rawatan penyakit dalam masa dua bulan kemudian.

Pendek kata, rawatan Cyberknife yang cepat, mudah, tidak menyakitkan dan berkesan ini memberikan harapan baru kepada para pesakit yang sebelum ini berputus harap.

Bagaimana Cyberknife berfungsi?

Langkah 1: Menyediakan rawatan
Bagi kanser hidung dan otak, topeng muka yang lembut akan dibentuk bagi setiap pesakit. Ia bertujuan meminimumkan pergerakan pesakit semasa rawatan di samping memastikan keselesaan mereka.

Bagi merawat tubuh badan, satu prosedur pesakit yang ringkas mungkin diperlukan bagi memasang beberapa susuk (penanda emas yang kecil) berhampiran lesi/tumor, bagi membolehkan sistem Cyberknife mengesan kedudukan tumor semasa rawatan.

Pengimejan
Bagi kanser otak dan hidung, pesakit yang dipakaikan dengan topeng muka akan menjalani CT scan dan MRI pada bahagian otak dan leher.

Bagi kanser spina dan badan pula, acuan badan akan dibuat terlebih dahulu, sebelum diikuti dengan CT scan pada mana-mana bahagian tubuh yang cocok.

Kedua-dua imbasan dilakukan menerusi suntikan ke dalam vena. Sila maklumkan kepada doktor jika anda mempunyai sejarah alahan.

Doktor akan menggunakan imbasan tersebut bagi mengenal pasti saiz, bentuk dan lokasi tumor yang tepat sekali gus mengelakkan sinaran terkena lain-lain struktur penting di sekelilingnya.

Langkah 2: Perancangan rawatan
Data CT dan MRI akan dimuat turun ke dalam komputer perancangan rawatan Cyberknife di mana, para doktor akan menggunakan perisian terkini mengikut angka, intensiti dan arah pancaran radiasi yang akan dihantar oleh robot ke sasaran. Pesakit tidak perlu hadir sama pada peringkat ini.

Langkah 3: Penghantaran rawatan
Ketibaan pesakit
Pakailah pakaian yang selesa tanpa barangan kemas. Bawa bertenang. Prosedur ini tidak menyakitkan. Jika anda mahu, anda boleh membawa senarai soalan untuk dikemukakan kepada pakar-pakar yang akan terlibat melakukan rawatan.

Mengambil kedudukan
Pesakit akan diminta berbaring di atas meja rawatan dan kemudiannya akan dipakaikan dengan topeng muka atau acuan tubuh yang telah dibuat terdahulu semasa proses menyediakan rawatan. Secara amnya, bius tidak diperlukan kerana rawatan Cyberknife tidak menyakitkan.

Rawatan tidak menyakitkan
Semasa rawatan, pesakit tidak boleh bergerak. Mereka berada di dalam keadaan sedar sepenuhnya sepanjang prosedur yang lazimnya memakan masa di antara 30 hingga 90 minit, bergantung kepada kerumitan tumor anda.

Sistem pemanduan imej akan mengambil imej sinar X dari semasa ke semasa dan membandingkannya dengan data daripada CT scan, untuk memastikan radiasi disasarkan dengan tepat ke arah tumor.

Rawatan selesai
Bagi radiosurgeri satu sesi, rawatan siap! Pesakit biasanya dibenarkan meninggalkan pusat rawatan dan boleh terus memulakan rutin harian mereka seperti biasa.

Sekiranya doktor mengambil keputusan untuk melakukan beberapa sesi rawatan, pesakit perlu kembali semula untuk rawatan tambahan harian, lazimnya tidak lebih lima kali.

Susulan
Selepas rawatan radiosurgeri, susulan dengan CT dan MRI dilakukan dalam tempoh tiga bulan. Doktor akan menerangkan kepada anda tentang prosedur berkenaan pada akhir rawatan.

Jenis-jenis tumor yang boleh dirawat (FDA)
Sistem Cyberknife diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika (FDA) untuk merawat tumor benigna dan malignan di segenap tubuh badan termasuklah penyakit metastatik (penyakit yang sudah merebak), malformasi vaskular (kecacatan pembuluh darah) dan beberapa gangguan fungsi seperti neuralgia trigeminal (sakit yang menyucuk-nyucuk pada muka).

* Otak

* Spina dan korda spina

* Hidung

* Paru-paru

* Hati

* Pankreas

* Prostat.

Berundinglah dahulu dengan doktor anda untuk mengetahui sama ada rawatan ini sesuai untuk anda.

Pakar perubatan yang akan terlibat di dalam rawatan termasuklah:
* Pakar onkologi radiasi

* Pakar bedah saraf

* Pakar bedah spina

* Pakar radiologi

* Pakar perubatan

* Penggambar sinaran terapi dan diagnostik

* Lain-lain ahli pasukan di dalam pusat rawatan berkenaan.

Kelebihan kepada pesakit
* Tiada pemotongan dilakukan

* Tiada darah

* Tidak kesakitan

* Tiada bius

* Tiada kerangka stereotaktik

* Masa pemulihan sifar

* Boleh terus pulang ke rumah dan melakukan aktiviti seperti biasa



Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?