<$BlogRSDURL$>

Monday, December 26, 2005

PREVIEW FILEM: KING KONG 


Filem King Kong arahan Peter Jackson, remake dari filem tahun 1933. Ini adalah impian beliau (sepertimana impian Nazim Masnawi nak mengarah remake filem Basic Instinct bila dia famous nanti). Impian sejak dari kecil lagi.

Filem remake sesuatu pada dasarnya, punya risiko. Tambahan lagi jika remake itu dengan nawaitu untuk bersifat faithful, setia pada yang asal tanpa banyak perubahan. Lantas ianya menjadi satu tanggungjawab yang sukar. Ia lebih sukar bila King Kong mahu dibikin semula. Orang sudah biasa dengan ceritanya, premisnya sudah orang tahu, ianya cerita raksasa dan paling penting - orang sudah tahu pengakhirannya King Kong mati. Jadi apa kejutannya?

Tapi Peter Jackson ambil risiko itu. Berbelanja besar dengan barisan pelakon seperti Naomi Watts (Ann Darrow), Jack Black (Carl Denham), Colin Hanks (Preston), Thomas Kretschmann (Engelhorn) & Lobo Chan (Choy). Dibantu oleh studio yang punya reputasi tinggi selepas kejayaan LOTR. Peter Jackson mempersembahkan kepada khalayak alaf model remake filem yang menjadi lagenda dan kebanggan rakyat Amerika khususnya.

Remake Peter Jackson bersifat setia kepada 1933, tetapi walau mungkin dinafikan oleh beliau, memuatkan juga elemen filem tahun 1976. Jelas ketara ialah hubungan antara Ann dan si monyet besar itu. Kalau 1933 nyata sekali hubungan mereka hanya satu hala (dimana si monyet suka kepada Ann), 1976 mengambil bahawa si gadis juga punya rasa kepada Kong, tak menolak bulat-bulat.

Bahagian pertama cerita memperkenalkan karakter dan bagaiamana karakter-karakter itu akhirnya sampai ke Skull Island. Peter Jackson memperlihatkan zaman 1933 yang dikatakan depression era. Usaha Peter Jackson mendapat pujian walaupun dikatakan apa yang dipaparkan tidaklah begitu accurate.

Kemudian bahagian kedua, yang nyata lebih panjang membawa kita ke dalam hutan Skull Island. Disinilah kenapa ianya begitu penting dan banyak adegan yang harus begitu panjang. Ann dan Kong berkenalan buat pertama kali. Satu yang bukan bersifat konvensional bila raksasa yang jauh lebih besar berdiri di depannya. Kalau biasanya seorang 'mangsa' yang menjerit, pasrah dengan apa yang menimpa, Ann bertindak sebaliknya. Dia menggunakan kelebihannya untuk 'menarik' hati Kong. Tindakannya membuatkan Kong terpesona. Hilang segala rasa terancam atau mahu mengancam. Dia memandang bahawa Ann bukan lagi ancaman buatnya dan tidak perlu dimusnahkan. Pada Ann pula, dia berjaya membuatkan dirinya selamat dari Kong

Aku cukup suka adegan Ann diancam oleh T-Rex. Saat ketika T-Rex berdiri dihadapan Ann, ketika itu juga Kong melompat di belakang si gadis. Ann perlahan-lahan bergerak menghampiri Kong. Satu tanda bahawa dia menganggap Kong sebagai pelindung, dan Kong melihat tindakan Ann sebagai satu tanda, satu token, satu penghormatan buat dirinya, menjadikan dirinya sebagai Champion kepada si gadis. Membuatkan Kong begitu bersemangat untuk berhadapan dengan T-Rex.

Terdapat beberapa lagi adegan yang terus mengukuhkan 'hubungan' mereka. Seperti saat Kong merajuk dengan Ann, bergerak pergi tetapi Ann pantas memanggil Kong dan berlari mendapatkan monyet besar itu. Juga semasa mereka berdua menikmati terbenamnya mentari di ufuk sana. Ini semua amat penting untuk meninggalkan kesan di jiwa penonton.

Mengenai karakter-karakter lain, impak yang mereka berikan tidak sekuat Naomi Watts, namun masing-masing tidak menghampakan. Mereka nyata menjadi karakter untuk menyempurnakan lagi cerita ini. Ada satu adegan melibatkan dinosour leher panjang tu (apa ke nama dia, brontosaurus?) berlari dengan manusia, dimana kesan khasnya agak kantoi, seperti yang diajukan oleh beberapa pengulas popular antarabangsa.

Peter Jackson juga membawa kita horror, terutama semasa adegan Jack dan lain-lain jatuh di dalam sebuah gaung. Tatkala mereka dikelilingi oleh serangga-serangga besar. Satu demi satu manusia menjadi mangsa serangga tersebut.

Aku juga suka dengan adegan Kong bergelongsor dengan Ann di tasik taman yang berais itu. Ianya mungkin nampak campy, orang boleh berkata 'eleh, tak logiknya', tapi ianya cukup mengasyikkan dan menyentuh perasaan. Seperti kalau boleh kita mahu saat-saat itu terhenti disitu, biarkan mereka berdua bahagia. Tapi kita tahu bahawa ianya takkan berlaku. Kita cuba untuk menidakkan, tapi kita tahu beberapa ketika kemudian Kong akan menemui nasibnya di atas bangunan. Good Things Never Last.

Asasnya kita boleh bercakap bahawa Kong dan Ann bercinta. (Lantas orang cakap - eleh, mana boleh orang jatuh cinta dengan monyet, monyet jatuh cinta dengan orang) Namun hubungan mereka bukanlah cinta yang bersifat seksual. Bukanlah 'cinta' seperti apa yang kita bayangkan. Mereka punya hubungan unik antara satu sama lain. Ann lebih bersifat kasihan melihat Kong, selesa bersamanya dan melihat Kong sebagai teman yang mampu melindunginya. Kong pula memandang Ann sebagai makhluk yang unik, yang menyentuh perasaannya. Dia mahu melindungi Ann. Dia mahu buat macam-macam perkara dengan Ann. Dan seperti Ann, dia selesa dengan gadis tersebut.

Dan merujuk kepada kenapa perlunya adegan di hutan tadi, kalaulah pembinaan karakter, atau mungkin hubungan Ann - Kong gagal semasa di hutan, penonton takkan menangis tatkala melihat si jaguh itu menatap wajah si cantik buat kali terakhir sebelum jatuh ke bawah, mati. Peter Jackson berjaya membawa adegan terakhir ini sebagai satu impak yang cukup kuat sekali. Saat perpisahan itu merupakan sesuatu yang cukup sedih. Sehinggakan aku terdengar suara-suara menangis dalam panggung di Sunway.

King Kong adalah antara filem remake yang cukup berjaya sekali. Ianya sebuah filem yang bukan ditonton sekali, tetapi banyak kali. Satu pengalaman yang cukup istimewa. Bak kata Ebert, tiada siapa lagi yang boleh buat remake King Kong selepas ini kerana ianya sudah sempurna.

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?