<$BlogRSDURL$>

Tuesday, August 23, 2005

Ulasan Filem Gol Dan Gincu 

Apa yang boleh saya katakan, filem Gol & Gincu lebih baik pembuatannya dari filem Ungu Violet. Nampak lebih jujur dengan jalan cerita yang mudah tetapi kena pada masanya. Tidak keterlaluan jika saya katakan filem ini lebih jujur dari filem Sepet.

Jika saya berusaha melayan tingkap mata agar tidak tertutup dalam Qaisy &amp;amp;amp;amp;amp;amp;amp;amp;amp;amp; Laila, ini tidak berlaku dalam Gol & Gincu. Filem ini berjaya membuatkan saya memerhatikan setiap satu babak secara penuh teliti dari satu babak ke satu babak seterusnya. Saya suka katakan skrip yang ringan sebegini merupakan faktor utama kekuatan filem ini. Skrip yang terlalu berat begitu membosankan.

Tema yang diangkat oleh filem ini juga amat bersesuaian dengan apa yang berlaku di sekeliling kita pada setiap hari. Dalam keriuhan bandaraya Kuala Lumpur, berlakunya masalah-masalah sosial yang sering dipandang ringan oleh masyarakat. Masalah-masalah itu diangkat ke dalam filem ini secara terkawal dan dirancang dengan baik.

Jika anda menjangkakan akan hadir seorang lelaki baru dalam hidup Putri setelah dikecewakan oleh Eddy, lupakan sahaja kerana ia tidak akan menjadi kenyataan. Kekuatan Putri dihadirkan semula melalui watak Zie. Lelaki tidak perlu untuk menaikkan semangat seorang wanita yang telah hilang kerana putus cinta.

Tetapi lelaki jugalah yang telah menghitamkan hidup Jiji. Gambaran awal yang dibuat cukup menarik kepada watak ini. Maklumat diberikan satu persatu secara penuh sistematik. Di sini letaknya kepentingan penulis skrip iaitu Rafidah yang telah menghasilkan sebuah kerja yang penuh teliti walaupun dalam rangkaian sub-plot yang agak banyak tetapi diperjelaskan dengan baik dan teliti.

Sekiranya ramai yang beranggapan Bernard Chauly sebagai penggiat filem indie, saya meletakkan hasilnya yang sulung ini sebagai sebuah filem pertengahan antara indie dan arus perdana. Filem ini kaya dengan visual yang menarik dan diperkukuhkan dengan nilai-nilai komersil yang mempunyai harapan untuk mendapatkan pulangan yang besar.


Apa yang boleh saya perkatakan setiap watak telah memainkan peranan mereka dengan berkesan. Fazura contohnya nampak begitu natural dalam filem ini. Berpandukan skrip yang baik juga watak Putri menjadi sebagai sesuatu yang senang untuk ditonton. Seperti kata Afdlin, Sazzy seperti seorang pelakon yang telah berlakon lama. Nampak begitu serasi watak tersebut dengan dirinya. Ia mengalir seperti air dalam filem ini. Pelakon seperti Anding, walaupun muncul dalam beberapa adegan telah memberikan mutu lakonan yang berkesan dan memberikan impak kepada penceritaan. Ini termasuklah watak Jiji yang telah dilakonkan oleh Sharifah Amani. Walau sebagaimana kecil pun watak yang diberikan ia tetap memberikan kesan kepada keseluruhan cerita. Itu yang menariknya filem ini.

Lagu-lagu dalam filem ini juga begitu menguja ! saya tertarik dengan lagu Teruja (Ella), Percaya Diriku(Ella) dan Generasiku(Radhi OAG). Lagu memainkan peranan yang penting untuk menaikkan mood filem remaja sebegini.

Walaupun mendapat tajaan besar dari Hotlink, Coca Cola dan Adidas, filem ini menampilkan nama-nama penaja mereka dengan bersahaja tidak seperti yang dilakukan oleh Sembilu 2005 dengan penaja Celcom mereka. Amat menyakitkan hati !

Saya harus memberikan pujian kepada penulis lakonlayar filem ini iaitu Rafidah Abdullah yang telah menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan penuh berkesan. Pengarah Fotografi iaitu Haris Hue juga telah memberikan visual-visual yang menarik dengan pengambilan shot dari sudut-sudut yang mengkagumkan. Ini turut dibantu oleh Penata Seni iaitu Yee I-Lann yang sememangnya terkenal dalam bidang tersebut.

Jika anda meminati Ada Apa Dengan Cinta, anda pasti menyukai filem ini. Sebuah filem remaja Malaysia yang mengangkat tema-tema permasalahan remaja ke taraf yang lebih besar tanpa syarahan-syarahan penjang yang berjela-jela untuk kaedah membanterasnya. Simple sahaja ! Saya menyukai penamat filem ini yang dibuat dengan penuh kritis tetapi bermakna. Penyampaian yang berani tetapi berjaya dikaburkan dengan teknik penceritaan yang baik.

Filem ini dibintangi oleh Nur Fazura Sharifuddin, Ashraff Sinclair, Sazzy Falak, Melissa Maureen, Mohd Pierre Andre, Sharifah Amani, Bernice Chauly, 3R hosts Rafidah Abdullah, Kartini Kamalul Ariffin dan Celina Khor termasuklah bintang veteran yang terdiri daripada Zahim Albakri, Ida Nerina, Khatijah Tan, Yasmin Yusof dan penggiat teater Anne James. Filem ini merupakan filem arahan sulung Bernard Chauly, pengarah iklan, klip video, drama yang terkenal di Malaysia. Antara hasil kerja beliau ialah klip video Debaran Cinta oleh Siti Nurhaliza, drama Multimedia Super Cintun, Piala Untuk Mama dan beberapa siri 3R




Comments:
saya rasa citer bublegum macamnih okla, predictible.. BUT the actor Pierre Andre can really makes me SMILE :)
 
Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?