<$BlogRSDURL$>

Monday, August 29, 2005

Dalami ilmu agama - Sebelum berpoligami 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON


RAMAI beranggapan, wanita yang memberi keizinan kepada suaminya berkahwin lain akan mendapat ganjaran payung emas di syurga.Adakah benar kenyataan di atas ini dan bagaimanakah seharusnya poligami yang disarankan dalam Islam?

Tidak ada ayat al-Quran atau hadis-hadis yang menerangkan hal tersebut, demikian menurut Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Jawiah Dakir.

Malah jelas beliau, kebanyakan lelaki yang berhasrat untuk mengamalkan poligami sering kali menggunakan alasan `mendapat ganjaran payung emas' untuk mendapatkan keizinan. Malahan mereka juga menyatakan, poligami diharuskan kerana mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.

``Memang mereka mengikut sunah Nabi tetapi hanya pada jumlah bilangan isteri yang dikahwini, tidak dari segi cara perlaksanaannya. Suami perlu memahami perasaan isteri yang mana kita tidak ketahui sejauh mana hatinya terluka apabila mengetahui suami ingin menambah isteri. Oleh itu suami perlu bertindak bijaksana untuk mendapatkan keredhaan isteri,'' terang beliau mengenai amalan poligami yang selalu disalah tafsir golongan lelaki.

Dalam Islam, jelas dinyatakan syarat-syarat poligami yang dibenarkan dalam Islam berdasarkan kepada surah al-Nisa' ayat 3 :

Dan jika kamu tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (apabila kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.

Sejarah poligami telah bermula sebelum kedatangan agama Islam. Apabila syiar Islam semakin berkembang, Rasulullah s.a.w. mengatur poligami supaya ia dijalankan dengan lebih bermaruah dan tidak mendatangkan masalah kepada keluarga.

Rasulullah s.a.w. telah mengIslamkan ramai para sahabatnya. Ada di antara mereka yang mempunyai lebih daripada empat isteri. Baginda menyarankan agar memilih empat sahaja dan yang lain harus diceraikan.

``Berdasarkan kepada riwayat tersebut, lelaki yang beragama Islam boleh berkahwin tidak melebihi empat isteri. Paling utama, mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya, sama ada adil dari segi layanan, giliran, nafkah dan yang berkaitan dengan tanggungjawab suami kepada isteri'' tambah beliau lagi.

Adil, menurut Jawiah terlalu luas tafsirannya dan ia merupakan satu tanggungjawab berat yang harus dipikul bagi lelaki yang mengamalkan poligami. Ia melibatkan aspek material, rohaniah dan bergantung kepada keadaan isteri-isteri dan jumlah keluarga yang ditanggung oleh seorang lelaki.

Suami wajar berlaku seadil-adilnya dalam melaksanakan tanggungjawab itu dan dalam hal ini kaum lelaki yang mahu berpoligami hendaklah meneliti dan memahami penegasan Allah s.w.t. bahawa adil itu amat sukar untuk dilaksanakan. Para suami yang mempunyai keinginan berkahwin satu lagi wajar berusaha supaya berjaya melaksanakannya atau melupakan sahaja untuk berpoligami.

Bijaksana

Firman Allah s.w.t.: Kamu sekali-sekali tidak akan dapat berlaku adil terhadap isteri-isteri kamu, sekalipun kamu berusaha untuk berlaku adil. (an-Nisa: 129)

Berdasarkan kepada firman di atas, jika lelaki merasakan tidak boleh berlaku adil, maka diharuskan berkahwin satu sahaja.

Adil itu pula wajar difahami secara yang mendalam dan bijaksana, misalnya, isteri pertama mempunyai lima orang anak manakala isteri kedua pula baru mempunyai seorang anak, maka sudah tentulah duit perbelanjaan yang harus diberikan juga adalah berbeza bergantung kepada keadaan para isterinya.

``Inilah tanggungjawab berat yang kadang kala mendatangkan masalah kepada amalan poligami. Sedangkan dalam Islam, Allah s.w.t. telah meletakkan syarat-syaratnya supaya poligami dapat berjalan dengan baik,'' kata beliau merujuk kepada ayat al-Quran.

Daripada riwayat Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda: Lelaki yang tidak berlaku adil atau cenderung pada seorang isteri, apabila dibangkitkan pada Hari Akhirat, bahunya akan kelihatan senget.

Syarat kedua yang perlu diberi pertimbangan oleh masyarakat pada hari ini ialah belajar mendalami ilmu agama, khususnya ilmu berkeluarga terutama membabitkan hal-hal tanggungjawab suami isteri dan juga poligami.

Beliau menasihati agar amalan poligami itu lengkap dengan pengisian ilmu di dada agar ia mengikut syariat Islam. Kadang-kadang tujuan itu bukan bersandarkan syariat Islam tetapi mengikut hawa nafsu dan menerima godaan daripada wanita yang mempunyai niat tidak baik.

``Kita seharusnya belajar cara Nabi melaksanakan poligami dan melihat wanita bagaimana yang dipilih. Baginda tidak berkahwin dengan wanita cantik sebaliknya memilih janda yang kematian suami. Malah dua isteri baginda sahaja yang masih gadis, iaitu Aisyah dan Mariatul Qatiah. Manakala selebihnya ialah janda yang telah berumur,'' ujar beliau.

Tambahnya, sekiranya lelaki pada hari ini benar-benar mengamalkan poligami bersandarkan kepada sunah Nabi, memang tercapai hasrat berpoligami yang bertujuan membela nasib kaum wanita yang kehilangan tempat bergantung.

Bagaimanapun, pandangan negatif wanita terhadap amalan poligami boleh dikikis, sekiranya ia dilakukan dengan cara yang betul seperti tidak merahsiakan daripada pengetahuan isteri pertama dan kaum keluarga ataupun berkahwin lari dan tidak mendaftarkannya secara sah.

``Wanita menjadi marah atau amat sensitif kerana poligami yang diamalkan oleh sesetengah para suami, tidak berdasarkan kepada lunas-lunas Islam yang suci.

``Suami harus belajar mendalami ilmu agama dan isteri pula perlu ambil tahu dan memahami kenapa poligami diharuskan, dalam keadaan apa ia diharuskan dan dalam suasana bagaimana ia tidak harus.

``Sekurang-kurangnya, ia merupakan jalan penyelesaian terbaik kepada kedua-dua belah pihak,'' ujar Jawiah mengenai sikap golongan wanita mengenai tindakan suami yang berkahwin lain.

Walaupun tidak memerlukan keizinan isteri pertama, alangkah baiknya kalau suami dan isteri duduk bersama untuk berunding. Suami wajar memilih waktu dan cara yang sesuai agar perasaan isteri tidak terluka.

Dari segi Enakmen Keluarga Islam, lelaki yang hendak berkahwin lain perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah. Mahkamah akan melakukan siasatan dan memanggil isteri pertama untuk memastikan sama ada suaminya layak dan mampu untuk berkahwin lain.

``Jika mahkamah telah memberi kebenaran kepada suaminya untuk berkahwin lain, si isteri perlu memahami kehendaknya dan jangan lakukan perkara-perkara yang memudaratkan seperti menyimbah asid kepada suami atau sebagainya.

``Selain itu, suami juga perlu pandai memujuk, jangan sampai mengganggu perasaannya, jauh sekali untuk menganiaya isteri atau mencederakan isteri yang tidak membenarkannya berpoligami,'' nasihat beliau agar isteri menjaga maruah dengan baik dan suami pula menunjukkan sifat sewajarnya sebagai seorang lelaki dan suami yang ditugaskan menjaga dan memimpin isteri.

Lelaki perlu memahami sikap wanita yang suka cemburu dan tidak suka berkongsi kasih dengan wanita lain. Amat penting jika lelaki berusaha mencari jalan terbaik bagi menghilangkan sikap tersebut dan menanganinya secara bijak.

``Saya tidak nafikan, terdapat sesetengah wanita yang berpendirian lebih baik hilang suami daripada berkongsi kasih dengan wanita lain. Dengan itu, carilah jalan terbaik, pandang ke hadapan dan fikirkan masa depan anak-anak dan keluarga, lebih-lebih lagi fikirkan dosa dan pahalanya kerana perkahwinan adalah sunah dan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya,'' tegas Jawiah.

Beliau juga berpendapat bahawa poligami dapat ditangani dengan mudah sekiranya permulaannya adalah baik dan tidak menimbulkan huru hara. Jika semuanya berjalan dengan sempurna, tidak timbul sebarang masalah sama ada dari pihak suami mahupun isteri.

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?