<$BlogRSDURL$>

Friday, June 17, 2005

HIV di tahap darurat - kata PM 

Program beri jarum, kondom percuma tetap dilaksana Oktober


Daripada: AZNAN BAKAR


DOHA, Qatar 16 Jun - Kerajaan akan tetap meneruskan pelaksanaan program perintis pemberian jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah bagi mengawal penyebaran HIV/AIDS memandangkan keadaan sudah sampai ke tahap darurat.

Program itu akan bermula Oktober ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

``Dari segi agama, kalau berlaku sesuatu darurat atau yang akan jadi darurat maka untuk pencegahan boleh ambil tindakan yang dicadangkan itu.

``Tetapi kalau ada pihak lain ada cadangan lebih baik lagi, maka Kementerian Kesihatan mesti bersedia menimbangkannya,'' kata beliau pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di Sidang Kemuncak Selatan Kedua, Kumpulan 77 (G77) campur China di sini, hari ini.

Abdullah menambah, pelaksanaan Oktober ini hanya di peringkat percubaan dan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan masih sedia menerima cadangan-cadangan lain jika ia lebih baik untuk membendung penularan penyakit itu.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan berhubung cadangan Kementerian Kesihatan itu yang mencetuskan kontroversi dan mendapat bantahan daripada beberapa kerajaan negeri, mufti dan pertubuhan agama Islam. Mereka menganggap cadangan itu bukan sahaja akan menyumbang kepada masalah sosial, tetapi juga membazir wang rakyat.

Pada 2 Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek mengemukakan cadangan supaya projek itu dijalankan secara percubaan selama enam bulan ke atas 1,200 penagih dadah yang menggunakan kaedah suntikan.

Jelas Soi Lek, pelaksanaannya turut melibatkan 10 klinik kerajaan dan swasta di setiap empat zon yang ditetapkan iaitu di utara, selatan, tengah dan timur setelah semua kakitangan perubatan yang terlibat diberi latihan secukupnya.

Melalui projek itu penagih akan diberi jarum suntikan, kondom dan dadah gantian yang dikenali sebagai metadon.

Menurut Soi Lek, usaha itu merupakan inisiatif klinikal dan perubatan ekoran kadar jangkitan HIV di negara ini yang semakin meningkat dari semasa ke semasa akibat kegagalan program sebelum ini.

Sehingga September lalu, sejumlah 61,486 jangkitan HIV dilaporkan di negara ini, termasuk 8,955 kes AIDS yang melibatkan 7,083 kematian dengan 75 peratus atau 46,292 penagih dadah dijangkiti HIV akibat menggunakan jarum suntikan.

Mengulas lagi rasional projek ini dijalankan Abdullah berkata, langkah memberi jarum dan kondom percuma itu terpaksa dilakukan kerana Soi Lek telah mengesahkan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini bahawa keadaan sudah sampai ke tahap darurat memandangkan golongan terbabit masih aktif mengamalkan penagihan dadah dan seks.

``Kalau mereka tidak diberi apa-apa bantuan seperti yang dikatakan oleh Soi Lek, mereka akan menjadi kumpulan yang menjangkitkan penyakit ini kepada orang lain terutama isteri mereka.

``Maka penyakit ini akan membiak dan ia amat berbahaya kepada masyarakat. Soalnya apa pendekatannya (untuk kawal), dan pendekatan itulah yang dicadangkan,'' katanya.

Menurut Abdullah, walaupun ada pihak mengatakan ia hanya membazir tetapi Kementerian Kesihatan telah membuat kajian terperinci dan mendapati ia dapat menjimatkan wang kerajaan dalam usaha membendung penularan penyakit itu.

Dari segi reaksi pelbagai pihak termasuk rakyat yang berbelah bahagi berhubung cadangan itu, Abdullah berkata, beliau telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md. Zin supaya mengadakan pertemuan dengan pertubuhan agama Islam dan juga bukan Islam supaya boleh diberikan penerangan sejelas-jelasnya.

``Pada pertemuan itu Menteri Kesihatan boleh memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai perkara ini.

``Kalau sudah sampai ke peringkat yang membahayakan masyarakat maka ia menjadi satu desakan kepada kita untuk guna pendekatan yang dicadangkan itu sebagai satu pendekatan untuk atasi masalah yang mungkin bawa darurat kepada kita.

``Kalau tak mahu, maka akibatnya jangkitan (HIV/AIDS) akan bertambah kalau mahu jangkitan dapat dikurang itu pilihan yang perlu difikirkan bersama,'' kata Perdana Menteri.

Comments: Post a Comment

This page is powered by Blogger. Isn't yours?